Jumaat, 13 Januari 2023

Lelaki tumbuk ibu hingga gigi tercabut dipenjara 18 bulan


Seorang lelaki di Britain dijatuhi hukuman penjara 18 bulan selepas membelasah ibunya dalam satu pertengkaran yang berlaku di rumah mereka, lapor akhbar Mirror UK pada 9 Januari 2023.


Elliot Stemburski, 22, dari Blackpool menyerang ibunya dengan menolak wanita itu ke dinding dan menumbuk mukanya.


Ketika kejadian itu disaksikan oleh adik beradiknya, dia terus menumbuk ibunya yang ketakutan sehingga menyebabkan gigi mangsa tercabut.


Keluarga tersebut diarah menyerahkan bukti di mahkamah selepas suspek enggan mengaku bersalah dan kes itu terpaksa dibicarakan, lapor saluran berita LancsLive.


Stemburski didapati bersalah melakukan serangan yang menyebabkan kecederaan fizikal di Mahkamah Diraja Preston dan kembali dibicarakan pada Jumaat lalu.


Pendakwa Raya, Holly Nelson memberitahu mahkamah bahawa Stemburski tinggal bersama ibunya ketika kejadian.


Wanita itu berada di tingkat bawah ketika mendengar pertengkaran di tingkat atas. Dia cuba menenangkan anak lelakinya dan menyuruh dia meninggalkan rumah.


Srtemburski kemudian masuk ke dalam bilik sebelum menyerbu keluar dengan agresif dan menolak dada ibunya. Mangsa terjatuh ke dinding dan kepalanya terhantuk pada bingkai pintu.


Mangsa cuba melarikan diri dengan melempar gelas kaca namun, tidak mengenai Stemburski.


"Insiden itu memberi kesan kepada saya dari segi fizikal dan mental serta anak-anak saya. Saya memikirkannya setiap hari, saya mengalami lebam di seluruh badan dan masih sakit kepala," kata mangsa.


Stemburski dijatuhi hukuman penjara 18 bulan yang digantung selama dua tahun.


Dia juga diberi perintah larangan mendekati mangsa selama dua tahun dan perlu menyelesaikan 35 hari aktiviti pemulihan serta 200 jam kerja tanpa gaji. - Sumber Mirror UK.


Mangsa mengalami lebam di seluruh badan selepas kejadian itu. - Foto Thinstock.


EmoticonEmoticon