Selasa, 31 Januari 2023

Komet hijau kali terakhir dilihat 50,000 tahun lalu dijangka buat kemunculan esok


Sebutir komet berwarna hijau yang mengorbit Matahari sekali setiap 50,000 tahun akan terbang tepat melintasi Bumi esok, lapor portal berita MSN pada 30 Januari 2023.


Ia yang turut dikenali sebagai komet C/2022 E3 (ZTF) akan melintas pada kedudukan paling dekat dengan Bumi pada 1 Februari ini dengan jarak kira-kira 45 juta kilometer.


Komet ialah batu angkasa berais dan apabila hampir dengan matahari, ia mula mencair dan menghasilkan jejak-jejak gas. Cahaya hijaunya adalah hasil sinaran ultraungu dari matahari yang menerangi gas yang mengelilingi permukaan komet.


ZTF pertama kali dikesan pada Mac 2022 oleh Kemudahan Sementara Zwicky di San Diego, California, Amerika Syarikat. Kali terakhir ia melepasi planet ini ialah ketika Zaman Batu kerana bola berais ini akan mengelilingi matahari setiap 50,000 tahun.


Komet itu mengelilingi matahari pada 12 Januari lalu dan kini menuju ke Bumi dalam perjalanan keluar dari Sistem Suria. Manakala penduduk Kanada berada di tempat yang paling sesuai untuk melihatnya.


"Pada masa ini, sudah tentu terlalu samar untuk dilihat dengan mata kasar, bagaimanapun ia akan menjadi lebih cerah menjelang penghujung bulan Januari ini dan boleh dilihat dengan mata kasar," kata Paul Wiegert iaitu seorang profesor di Jabatan Fizik dan Astronomi, Universiti Barat di London, Ontario, Kanada.


Seorang lagi ahli astronomi di Royal Observatory Greenwich, Dr Greg Brown berkata, ini adalah peluang seumur hidup untuk melihat kejadian berkenaan kerana komet itu kini sedang melalui sistem suria dan tidak akan kembali sekurang-kurangnya 50,000 tahun lagi.


"Komet itu akan merentasi langit kita melalui buruj Draco serta akan melalui Ursa Major dan Ursa Monor pada akhir Januari dan awal Februari," katanya.


Tambah Brown, walaupun mungkin dapat melihatnya dengan mata kasar tanpa sebarang bantuan, namun lebih baik menggunakan teropong atau teleskop kecil.


"Paling mudah dilihat ialah kepala komet yang lebih cerah, tetapi, jika anda bernasib baik, anda mungkin melihat salah satu daripada dua ekornya terkeluar," katanya.


Cahaya hijau C/2022 E3 adalah hasil sinaran ultraungu daripada matahari yang menerangi gas yang mengelilingi permukaan komet. - Foto Twitter/Daily Loud.


EmoticonEmoticon