Tiga orang pekerja ladang berdepan detik cemas apabila seekor gajah liar bertindak memecah tingkap sebelum 'mencuri' makanan di bahagian dapur rumah mereka di Felda Aring 8 di Gua Musang, pada Ahad dan Rabu lalu.
Dalam kejadian pertama pada pukul 4 pagi pada hari Rabu, pekerja berkenaan tersedar daripada tidur kerana mendengar bunyi pinggan, sudu dan periuk jatuh atas lantai.
Mohd. Khairul Faiza Muhammad Din, 30, yang bekerja sebagai penyelia ladang berkata, dia bersama rakan bangun untuk memeriksa keadaan dan terkejut apabila melihat gajah berada di tingkap dapur itu.
"Saya bersama rakan-rakan terkejut apabila melihat gajah memecahkan cermin tingkap di bahagian sinki dan belalai gajah itu melilau mencari makanan.
"Gajah terbabit memasukkan belalai melalui cermin yang pecah dan merosakkan semua barangan yang berada berhampiran sinki.
"Antara makanan yang diambil adalah barang-barang makanan seperti garam, mi segera, kicap dan minyak," katanya ketika dihubungi pemberita, semalam.
Mohd. Khairul Faiza memberitahu, dalam kejadian kedua pada tiga hari lalu pula, gajah berkenaan muncul kembali mengambil beberapa barang makanan yang berada di kawasan sinki terbabit.
"Ini bukan kali pertama saya melihat gajah kerana haiwan liar ini selalu berkeliaran di dalam ladang dan merosakkan pokok kelapa sawit yang ditanam. Kini, kami bimbang dengan keselamatan apabila gajah itu mula menghampiri kawasan rumah," katanya.
Tambah Mohd. Khairul Faiza, dia sudah membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan pihak berkenaan.
EmoticonEmoticon