Khamis, 12 Januari 2023

Dua cedera selepas 'power bank' tiba-tiba terbakar dalam pesawat


Dua penumpang cedera akibat pengecas mudah alih (power bank) terbakar dalam pesawat Scoot ketika ia mahu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan di Taiwan menuju Singapura pada hari Selasa, 10 Januari 2023.


Kedua-dua mangsa menaiki pesawat TR993, yang sepatutnya berlepas pada 7.35 malam, Selasa dan dijadual tiba di Singapura 12.20 tengah malam keesokannya, lapor penerbitan berbahasa Cina, Lianhe Zaobao yang memetik laporan media tempatan.


Anggota bomba segera dikejarkan ke tempat kejadian selepas pihak berkuasa lapangan terbang menerima maklumat kes, jam 7.40 malam, dan pesawat itu kembali ke landasan selepas api dipadamkan.


Gambar yang tular di media sosial menunjukkan sebahagian kabin pesawat dipenuhi asap putih tebal.


Penumpang dilaporkan memilih untuk meneruskan penerbangan selepas penilaian pemeriksaan menunjukkan mereka tidak memerlukan rawatan hospital.


Menjawab pertanyaan The Straits Times, Scoot memaklumkan penerbangan itu selamat kembali ke pintu pelepasan selepas bank kuasa (power bank) milik pelanggan menjadi terlalu panas ketika pesawat masih belum berlepas.


"Bantuan perubatan sudah diberikan kepada mangsa dan rakannya, yang melecur ringan di jari mereka.


"Kami menjadualkan semula penerbangan dan akan menyediakan penginapan serta makanan kepada penumpang yang terjejas," katanya.


Syarikat itu turut meminta maaf atas kejadian itu dan menegaskan bahawa keselamatan pelanggan dan kru adalah keutamaannya. Siasatan berhubung kejadian itu sedang dijalankan.


Para penumpang dilaporkan memilih untuk meneruskan penerbangan selepas penilaian perubatan menunjukkan mereka tidak memerlukan rawatan hospital. - Foto Wanghauyu/Facebook melalui The Straits Times/Asia News Network.


EmoticonEmoticon