Isnin, 30 Januari 2023

Bina bangsal parkir kenderaan tengah jalan, MBK ambil tindakan


Pelik tapi benar, itulah perkataan sesuai untuk digambarkan terhadap tindakan individu yang membina sebuah parkir di tengah jalan.


Tindakan individu tersebut terbongkar selepas anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) menjalankan satu pemeriksaan semalam.


Menerusi perkongsian di laman Facebook rasmi MBK, kejadian tersebut berlaku di sebuah kawasan perumahan di Seri Mahkota, Kuantan dan menganggap perbuatan itu sebagai tindakan luar biasa.


Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Norkamawati Kamal menjelaskan notis arahan pengalihan telah dikeluarkan selama tujuh hari ke atas pemilik kenderaan terbabit.


"Jika pihak pemilik kenderaan atau pihak berkaitan gagal mematuhi notis tersebut, tindakan sitaan bakal diambil.


"Kadar sitaan kita kenakan sebanyak RM100 sehari sehingga pemilik atau pihak berkaitan menebus kenderaan ini," katanya ringkas ketika dihubungi pada Isnin.


Susulan perkongsian itu, rata-rata netizen mengecam perbuatan individu tidak bertanggungjawab itu kerana telah menyusahkan jiran dan pengguna jalan raya yang lain.


"Mesti rakan tetangganya dah tegur beberapa kali tetapi tak boleh jalan juga, akhirnya MBK ambil tindakan atas aduan tersebut," kata seorang netizen.


"Tak perlu saman, terus tunda dan robohkan sahaja bangsal itu. Bagi amaran keras pada orang lain yang buat atau berniat sama," komen netizen lain.


Parkir haram yang dibina individu tidak bertanggungjawan di tengah jalan raya di sebuah taman perumahan di Seri Mahkota, Kuantan.


EmoticonEmoticon