Gambar hiasaan.
Petronas menerusi anak syarikatnya, Petróleo Brasil Ltda (PPBL) dan rakan niaganya telah memenangi kontrak penerokaan blok Agua Marinha pada bidaan regim perkongsian pengeluaran kitaran terbuka pertama Brazil di Rio de Janeiro.
PPBL akan menguasai 20 peratus kepentingan dalam blok yang terletak di Lembangan Campos, manakala Petrobras dengan 30 peratus, sementara pengendali, TotalEnergies (30 peratus) dan QatarEnergy (20 peratus).
Keputusan bidaan bagi penerokaan kawasan berkenaan diumumkan oleh Agensi Petroleum, Gas Asli dan Biofuel (ANP) Kebangsaan Brazil dalam satu majlis secara langsung pada 16 Disember lalu.
Naib Presiden Eksplorasi Petronas, Mohd. Redhani Abdul Rahman berkata, kejayaan memenangi bidaan menunjukkan kelebihan daya saing syarikat dalam membangunkan dan mencipta nilai aset secara mampan di Lembangan Campos.
"Kami benar-benar teruja dengan keputusan pusingan bidaan yang menggalakkan. Petronas kekal fokus untuk membuka lebih banyak nilai daripada aset dengan rakan kongsi bersama pihak berkuasa tempatan," katanya dalam kenyataan.
Baru-baru ini, PPBL mengumumkan penemuan minyak pertama di telaga 4-BRSA-1386D-RJS di medan minyak Sépia di Lembangan Santos. Syarikat itu memiliki 21 peratus kepentingan penyertaan dalam lapangan itu.
PPBL juga memiliki kepentingan penyertaan dalam Tartaruga Verde (Konsesi BM-C-36) dan Modul III medan laut dalam Espadarte (Konsesi Espadarte), serta tiga blok penerokaan air dalam, C-M-541, C-M-661 serta C-M-715 di Lembangan Campos.
EmoticonEmoticon