Isnin, 12 Disember 2022

Perompak cedera parah silap langkah samun kedai emas milik juara menembak


Sekumpulan empat perompak bersenjata cuba merompak sebuah kedai emas di daerah Mueang, wilayah Tak di utara Thailand, namun digagalkan oleh pemilik kedai yang merupakan seorang juara pertandingan menembak, lapor laman berita Thaiger pada 11 Disember 2022.


Empat perompak itu telah memecah masuk kedai emas yaowarat sekitar pukul 12.55 tengah hari (waktu tempatan). Kejadian itu berjaya dirakam oleh sistem televisyen litar tertutup (CCTV). 


Ketika salah seorang perompak cuba memotong palang keluli, pemilik kedai, Phisit Raphitpan, 41, melepaskan empat das tembakan ke arah mereka.


Perompak-perompak itu bertempiaran melarikan diri dengan tangan kosong, manakala salah seorang daripada mereka tergelincir pada kaca yang pecah.



Phisit melepaskan empat das tembakan lagi dan mengenai seorang perompak ketika suspek cuba melarikan diri dengan menaiki motosikal. Polis menemui lelaki itu terbaring dalam keadaan berlumuran darah di luar kedai emas tersebut.


Lelaki itu cedera parah dan dibawa ke Hospital Somdet Prachao Taksin Maharat untuk menerima rawatan, sebelum dipindahkan ke hospital di wilayah Phitsanulok. 


Seorang lagi perompak melarikan diri dengan berjalan kaki. Dia ditahan di sebuah lorong berhampiran kedai itu oleh anggota dari Balai Polis Mueang Tak.


Dua lagi perompak berjaya melarikan diri melalui daerah Wang Chao dan mungkin melarikan diri ke Myanmar. Polis berpendapat mungkin mereka menyeberang melalui kawasan hutan ke daerah Phop Phra, di sepanjang sempadan Burma.


Menurut polis, dua lelaki yang cedera dan ditahan itu pernah merompak sebuah kedai emas di daerah Phop Phra pada 12 Februari lalu.


Askar Tentera Diraja Thailand, Mejar Kitti Kerdphon memberitahu pemberita bahawa pemilik kedai emas, Phisit telah dilatih menggunakan senjata api.


Dia adalah seorang peminat senjata api dan datang ke lapangan menembak bersama isterinya sejak lebih lapan tahun lalu. Sejak itu dia kerap berlatih di sana. Phisit kemudiannya menyertai dan memenangi pertandingan menembak di wilayah Tak.


Peguam terkenal, Decha Kittiwittayanan berkata bahawa Phisit menggunakan senapang patah secara sah kerana penyerang cuba mencuri emasnya dengan mengacukan senjata. Lima tembakan yang dilepaskan oleh Phisit adalah untuk melindungi diri, kata Decha. - Sumber The Thaiger.


Dua daripada empat suspek masih bebas selepas cuba memecah masuk sebuah kedai emas di mana pemilik melepaskan beberapa das tembakan menyebabkan perompak itu melarikan diri. - Foto Thaiger.


EmoticonEmoticon