Sepasang suami isteri yang dipercayai bertindak sebagai 'transporter' ditahan semasa membawa sebanyak 246 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM9.5 juta menggunakan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di hadapan Eco Park, Batu Jong, Kuala Krai, semalam.
Suspek pertama yang berusia 26 tahun bersama isterinya 28 tahun itu ditahan kira-kira pukul 8 pagi semasa sedang memandu kenderaan MPV jenis Perodua Alza.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas MPV itu membawa kepada penemuan 11 guni putih di bahagian belakang pemandu dan penumpang.
"Pemeriksaan ke atas setiap guni putih mengandungi 24 bungkusan foil berwarna silver. Setiap bungkusan itu mengandungi plastik lutsinar bertulis 'guanyinwang' yang disyaki berisi dadah jenis syabu.
"Selain itu, kita turut merampas wang tunai berjumlah RM8,899 dan 200 Baht Thailand ," katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai, hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, hasil soal siasat yang dilakukan mendapati pasangan suami isteri itu diberi upah sebanyak RM5,000 setiap kali penghantaran.
Katanya, hasil siasatan mendapati suspek enam kali menjadi 'transporter' dan semasa ditahan, mereka turut membawa dua anak mereka berusia empat tahun dan lapan bulan.
Tambahnya, siasatan mendapati, kesemua dadah-dadah itu dibawa dari Thailand dan akan mereka membawanya dari Kelantan ke Lembah Klang.
"Kesemua dadah yang dirampas ini dipercayai untuk pasaran di Lembah Klang dan boleh digunakan oleh seramai lebih 2.6 juta orang penagih dadah.
"Kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 9 Disember 2022 dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya.
EmoticonEmoticon