Isnin, 26 Disember 2022

Lelaki maut pecah masuk rumah sendiri 'tercekik' kabel kereta


Seorang lelaki di Moscow, Russia maut selepas cuba memecah masuk ke dalam apartmennya sendiri kerana tertinggal kunci, lapor akhbar Daily Star pada 17 Disember 2022.


Lelaki berusia 49 tahun yang identitinya tidak didedahkan itu tertinggal kunci rumah di dalam apartmennya, lapor media tempatan.


Akhbar MK melaporkan kejadian itu berlaku pada Khamis 15 Disember lalu selepas lelaki itu pulang daripada membawa anjingnya bersiar-siar.


Apabila sampai di pintu masuk apartmennya, lelaki itu menyedari dia terlupa kunci. Dia meminta kebenaran jiran untuk memanjat balkoni tingkat empat mereka untuk ke flatnya di bawah.


Akhbar itu melaporkan bahawa mangsa kemudian menghubungi rakan dan memintanya membawakan kabel kereta.


Dia kemudian mengikat tali itu di pinggangnya dan memanjat balkoni, manakala jirannya memegang hujung satu lagi. Ketika cuba memanjat, lelaki itu didakwa tercekik oleh ikatan tali tersebut.


Dia terjatuh namun tergantung di paras tingkat tiga kerana tali itu tersangkut pada bingkai tingkap. Dia mengetuk tingkap di tingkat tiga itu beberapa kali namun tiada jawapan.


Saksi kemudian menghubungi anggota penyelamat, manakala dua lelaki berlari masuk ke dalam apartmen untuk membantu pemilik pangsapuri itu menahan mangsa yang tergantung sebelum penyelamat tiba.


Mangsa bagaimanapun secara tragis disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh perkhidmatan kecemasan. - Sumber Daily Star.


Mangsa maut selepas cuba memanjat balkoni jiran ke tingkap rumahnya. - NATALIA GUBERNATOROVA.


EmoticonEmoticon