Korea Selatan melaporkan kes pertama jangkitan Naegleria fowleri yang biasanya dirujuk sebagai 'amoeba pemakan otak', menurut pihak berkuasa kesihatan pada Isnin 26 Disember 2022.
Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA) mengesahkan kematian warga tempatan berusia lingkungan 50-an selepas mangsa kembali dari sebuah negara Asia Tenggara pada 10 Disember lalu, selepas menetap selama empat bulan di negara terbabit.
Lelaki itu dipercayai meninggal dunia selepas dijangkiti Naegleria fowleri, yang merosakkan otak, dimasukkan ke hospital sehari selepas kepulangannya.
"Dia dimasukkan ke hospital pada keesokan harinya dan meninggal dunia pada Rabu lalu. Kami telah melakukan ujian genetik ke atas tiga jenis patogen yang menyebabkan Naegleria fowleri untuk mengesahkan punca kematiannya.
"Keputusan ujian itu menunjukkan gen dalam tubuh lelaki itu adalah 99.6 peratus sama dengan yang ditemui pada pesakit meningitis di luar negara," jelas KDCA.
Naegleria fowleri ialah amoeba atau organisma sel tunggal yang hidup, biasa ditemui di tasik air tawar yang hangat, sungai, terusan dan kolam di seluruh dunia. Amoeba disedut melalui hidung, bergerak ke otak dan memusnahkan tisu otak.
Antara simptom awal termasuk sakit kepala yang teruk, demam, loya atau muntah dan tempoh inkubasi Naegleria fowleri biasanya dua hingga tiga hari atau boleh mencecah sehingga 15 hari.
Dalam pada itu, KDCA memaklumkan, kemungkinan penularan Naegleria fowleri daripada individu kepada individu lain adalah rendah, tetapi menasihatkan penduduk tempatan untuk mengelakkan diri daripada berenang di kawasan di mana penyakit itu sudah merebak.
Sebanyak 381 kes Naegleria fowleri dilaporkan di seluruh dunia setakat 2018 termasuk di Amerika Syarikat (AS), India, Thailand, China dan Jepun.
Menurut data Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di AS, sebanyak 154 kes jangkitan 'amoeba pemakan otak' dilaporkan dari 1962 hingga 2021 dan hanya empat pesakit terselamat dengan kadar kematian lebih 97 peratus.
EmoticonEmoticon