Seorang lelaki yang bekerja di Irish Rail di Ireland mendakwa dibayar dengan gaji 105,000 pound sterling (kira-kira RM566,646) setahun, walaupun tidak melakukan apa-apa, lapor akhbar Daily Star pada 1 Disember 2022.
Berikutan itu, lelaki dikenali Dermot Mills mengambil tindakan undang-undang terhadap majikannya kerana berasa sangat bosan apabila tidak diberikan kerja.
Mills mengemukakan bukti dalam pendengaran kes itu, baru-baru ini, mengenai aduannya di bawah Akta Pendedahan Terlindung 2014.
Dakwa Mills, dia dipinggirkan dan tidak diberi sebarang tugas selepas didapati menjadi dalang yang membongkar mengenai perakaunan tidak teratur di syarikat itu pada 2014, dia telah diketepikan dan tidak diberi kerja untuk dilakukan.
"Jika saya pergi ke pejabat, saya masuk jam 10 pagi. Saya membeli dua akhbar, The Times dan The Independent, dan sandwic.
"Saya pergi ke bilik saya, saya menghidupkan komputer saya, saya melihat e-mel. Tiada e-mel yang dikaitkan dengan kerja, tiada mesej, tiada komunikasi, tiada komunikasi rakan sekerja.
"Saya duduk, membaca akhbar dan makan sandwic. Kemudian kira-kira 10.30 pagi, jika ada e-mel yang memerlukan jawapan, saya menjawabnya. Jika ada kerja yang berkaitan dengannya, saya melakukan kerja itu," kata Mills kepada Suruhanjaya Perhubungan Tempat Kerja.
Selepas keluar untuk makan tengah hari dan berjalan-jalan, Mills kembali ke pejabat antara 2.30 dan 3 petang.
"Jika tiada apa yang perlu dilakukan, saya pulang ke rumah," katanya.
Wakilnya yang juga bekas ketua sumber manusia Rail Ireland dan perunding perhubungan industri, John Keenan, dengan tidak percaya bertanya kepadanya, "Kamu dibayar 105,000 pound stering kerana tidak melakukan apa-apa?".
"Ya. Apabila saya berkata untuk tidak melakukan apa-apa, saya bermaksud untuk tidak menggunakan kemahiran saya," jawab Mills.
Tom Mallon kemudian bertanya kepada Mills sama ada dia sendiri yang dipersalahkan kerana kekurangan kemajuannya di syarikat itu.
Mills menjawab: "Jika kamu mengatakan saya sedang mencari alasan untuk layanan buruk itu , saya tidak tahu mengapa saya dilayan dengan teruk oleh syarikat."
Pegawai yang mendengar kes itu, Penelope McGrath kemudian menutup perbicaraan dan menangguhkannya sehingga Februari. - Sumber Daily Star.
EmoticonEmoticon