Khamis, 3 November 2022

Wanita tawar khidmat uji kesetiaan cinta lelaki terhadap isteri


Satu pekerjaan baharu muncul di Brazil dengan sebilangan wanita muda menawarkan khidmat menguji tahap kesetiaan pasangan pelanggan secara online, lapor laman berita Oddity Central pada 1 November 2022.


Bidang pekerjaan itu kini menjadi sangat popular di media sosial Brazil termasuk di laman TikTok dan Instagram. Pekerjaan itu kebiasaannya dilakukan oleh wanita muda dengan mengenakan bayaran antara AS$4 (RM18) hingga AS$30 (RM142).


Mereka akan menguji tahap kesetiaan seorang lelaki terhadap isteri atau teman wanita sebelum menyerahkan bukti kepada pelanggan. Mereka akan menghantar mesej peribadi di Instagram atau WhatsApp dengan berpura-pura mendapatkan nombor itu daripada kenalan.


Setelah menggoda lelaki secara dalam talian, mereka akan mengambil tangkap layar mesej perbualan dan apa-apa gambar yang dikongsi untuk menyerahkan bukti-bukti itu kepada pelanggan.


Laman berita Universea menemu ramah seorang pemeriksa kesetiaan, Nicolly, 22, mengenai pekerjaannya. Wanita itu baharu sahaja melahirkan anak dan tiada pekerjaan ketika didatangi seorang wanita untuk memeriksa tahap kesetiaan pasangannya.


"Dia datang kepada saya di Instagram, mengatakan bahawa saya sangat cantik dan memiliki ciri-ciri wanita yang disukai suaminya.


"Dia sangat curiga dengan lelaki itu kerana telah menipunya beberapa kali. Disebabkan itu, dia mahu saya menggoda suaminya untuk melihat sama ada lelaki itu akan jatuh cinta," kata Nicolly.


Nicolly menggoda lelaki berkenaan dan menghantar bukti kepada pelanggannya. Tidak lama kemudian, dia didekati wanita lain dengan permintaan sama dan hari ini, dia mampu menjana pendapatan antara AS$800 (RM3,793) hingga AS$1000 (RM4,742).


Stefani Lara, wanita berusia 20 tahun dari Curitiba, seorang lagi yang mula menawarkan perkhidmatan menguji kesetiaan untuk membantu wanita menamatkan hubungan mereka. Dia mendakwa bahawa kira-kira enam daripada setiap sepuluh lelaki gagal dalam ujian itu.


"Saya tidak fikir ujian itu akan membuktikan 100 peratus bahawa seseorang itu setia atau tidak, tetapi saya fikir ia banyak membantu untuk mengetahui apakah niat mereka yang berada di pihak kami. Ramai wanita hanya memerlukan bukti yang cukup untuk berpisah," katanya. - Sumber Oddity Central.


Wanita muda akan menggoda lelaki dan menyerahkan bukti kepada pasangan mereka. - Foto Nasik Lababan/Unsplash.


EmoticonEmoticon