Isnin, 21 November 2022

Tok Mat bersuara, cadang PN, PH bergabung tubuh kerajaan, BN sedia jadi pembangkang


Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berpandangan, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) perlu bergabung dan menubuhkan kerajaan.


Hujah Mohamad, kedua-dua gabungan tersebut mendapat bilangan nombor undi yang lebih tinggi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). PH memenangi 82 kerusi manakala PN pula memperolehi 73 kerusi.


Kata beliau, BN yang ditolak rakyat pula bersedia untuk menjadi pembangkang yang bertanggungjawab untuk menjalankan tugas semak dan imbang kerajaan baharu tersebut.


"Walaubagaimanapun, jika bantuan kami diperlukan dalam waktu peralihan pasca PRU ini, kami tetap sedia menyumbang kepada pembukaan bicara yang ikhlas dan terbuka.


"Kalau masih tak dapat juga tubuh kerajaan, tolong jangan salahkan kami. Ini hasil daripada proses yang demokratik, untuk memulangkan mandat kepada rakyat. Kami hanya menghormati keputusan itu," katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya pada Isnin.


Mohamad menjelaskan, BN menerima keputusan rakyat yang menolak gabungan tersebut dan tidak mempunyai kuasa untuk menubuhkan kerajaan.


PH dan PN kini sedang bersaing untuk mendapatkan sokongan mencukupi bagi membentuk kerajaan baharu selepas tidak ada mana-mana gabungan yang mempunyai jumlah yang cukup untuk menubuhkan kerajaan.


PRU15, yang paling sengit pernah dihadapi negara, berakhir dengan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan selepas semua 220 kerusi Parlimen diumumkan.


EmoticonEmoticon