Ahad, 20 November 2022

"Tewas tipis sekali pun, tewas tetap tewas. Saya telah cuba yang terbaik, tetapi saya tak cukup baik" - Khairy


Khairy Jamaluddin yang dilihat sebagai berprofil tinggi mewakili Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mengambil sikap berjiwa besar menerima kekalahannya di kerusi Parlimen Sungai Buloh, semalam.


Bagi Menteri Kesihatan itu, kalah di gelanggang pilihan raya merupakan hakikat yang perlu dilalui oleh ahli politik setiap lima tahun sekali.


"Saya sudah mencuba yang terbaik tetapi tidak cukup (baik)," luah bekas Menteri Kesihatan itu menerusi hantaran kapsyen pada gambarnya memakai baju T dan duduk di atas kerusi di Instagram (IG), hari ini.


Menerusi hantaran itu, Khairy berkata bahawa sebuah kekalahan tetap satu kekalahan walaupun dekat (dengan kemenangan) atau berapa ramai yang meluahkan kekecewaan (kerana kekalahan).


"Pilihan raya adalah asas kepada mana-mana demokrasi yang berfungsi tetapi ia juga sesuatu yang memberitahu ahli politik sama ada mereka cukup baik atau sebaliknya. Jika rakyat sukakan anda atau tidak.


"Saya rasa saya telah mencuba yang terbaik. Tetapi saya tidak cukup baik. Tewas tetap tewas, tidak kira seberapa kecil pun jumlah atau berapa ramai yang menyatakan kekecewaan atas kekalahan anda," kata Khairy dalam hantaran di akaun media sosial tersebut.


Biarpun yakin kekalahan itu bukanlah penamat cerita dan perjuangannya dalam politik, namun Khairy memaklumkan mahu mengambil sedikit masa untuk merangka perancangan seterusnya.


Khairy mengakui dia sebenarnya letih kerana tidak mempunyai masa untuk berehat sejak diminta menggalas tanggungjawab menguruskan wabak Covid-19.


"Dua tahun yang sukar untuk saya mengemudi negara keluar daripada Covid-19 tetapi ia adalah satu keistimewaan yang besar untuk berkhidmat pada masa yang kritikal.


"Saya gembira Malaysia sudah pulih lebih banyak daripada negara yang lain," katanya.


Dalam hantaran sama, Khairy turut menyatakan harapannya untuk parti atau calon dipilih oleh rakyat untuk berkhidmat dengan penuh semangat dan bertanggungjawab kerana negara memerlukan kestabilan serta kepimpinan yang lebih baik berbanding sebelumnya.


"Saya doakan yang terbaik untuk anda semua. Saya menantikan (untuk menonton) Piala Dunia di televisyen," tulisnya.


Dalam PRU15 semalam, Khairy, calon BN di Sungai Buloh, tewas kepada Datuk R. Ramanan dari Pakatan Harapan, yang menang di kerusi itu dengan 50,943 undi, manakala Khairy (48,250 undi) menjadikan majoriti 2,693 undi.


BACA: "Penghormatan terbesar berkhidmat sebagai Menteri Kesihatan anda" - Khairy.


Khairy berkata, beliau mahu mengambil sedikit masa untuk merangka perancangan seterusnya. - Foto Instagram KJ.


EmoticonEmoticon