Isnin, 7 November 2022

Tak mandi selama 65 tahun, lelaki terkotor di dunia meninggal dunia selepas mandi buat kali pertama


Seorang lelaki Iran yang mendapat gelaran 'lelaki terkotor di dunia' kerana tidak pernah mandi selama lebih setengah abad dilaporkan meninggal dunia pada usia 94 tahun, lapor akhbar The Sun.


Warga Iran itu yang tinggal di wilayah selatan Fars, sebelumnya mengelak percubaan penduduk kampung yang mahu membersihkannya. Tetapi, lelaki itu akhirnya tunduk kepada tekanan dan membersihkan badannya beberapa bulan lalu.


Media tempatan melaporkan, tidak lama selepas itu, Amou Haji jatuh sakit dan meninggal dunia pada 23 Oktober lalu di Dejgah di wilayah Fars.


Amou yang tubuhnya dipenuhi dengan kekotoran dan tinggal di sebuah pondok arang batu dilaporkan tidak pernah mandi dengan air atau sabun selama lebih 65 tahun.


Penduduk kampung memaklumkan, lelaki warga emas itu mengalami masalah kemurungan ketika waktu mudanya, menyebabkan dia enggan mandi.



Pada 2014, The Tehran Times melaporkan, Amou memakan bangkai haiwan yang mati tepi jalan dan percaya bahawa kebersihan akan membuatnya jatuh sakit.


Disebabkan enggan mandi, Haji dilaporkan pernah melompat dari kereta yang sedang bergerak sebelum diikat oleh penduduk kampung untuk membawanya ke sungai.


Jiran-jiran berjaya memujuknya untuk mandi selepas memberitahu bahawa dia sukar mencari kawan dan teman wanita jika tidak membersihkan badan.


Percubaan untuk memandikannya, atau menawarkan air bersih kepadanya, membuatnya sedih, kata agensi berita Iran, IRNA. Seperti kepercayaannya, mandi buatnya jatuh sakit dan dia akhirnya meninggal dunia.


Sebelum ini, kisah mengenai lelaki itu menarik minat para saintis yang berminat untuk mengkaji jenis hidupan yang mungkin berada pada tubuhnya.


Mereka bagaimanapun terkejut apabila mendapati Haji tidak dijangkit sebarang bakteria atau parasit lain selain daripada Trichinosis, sejenis bakteria yang menjangkiti individu yang memakan daging mentah dan menyebabkan jangkitan biasa.


Sebuah filem dokumentari pendek bertajuk 'The Strange Life of Amou Haji' juga telah diterbitkan pada 2013 bagi menceritakan mengenai kehidupannya.


Kini, gelaran lelaki terkotor di dunia diberikan kepada seorang rakyat India yang juga dipercayai tidak mandi hampir sepanjang hidupanya selama 35 tahun.


BACA: Tidak mandi selama 67 tahun dan makan bangkai haiwan, lelaki ini kekal sihat.


Makanan Haji terdiri daripada haiwan-haiwan yang terbunuh di jalan raya seperti landak. - Foto AFP.


EmoticonEmoticon