Ahad, 13 November 2022

Sikat purba berusia 3,700 tahun papar tulisan 'aneh' berkaitan kutu


Sekumpulan pakar sejarah menemui sebaris ayat yang ditulis menggunakan abjad pada sebatang sikat purba didakwa tertua di dunia berusia 3,700 tahun, lapor akhbar Daily Mail pada 9 November 2022.


Baris ayat tersebut memberi nasihat supaya menggunakan sikat pada rambut dan jambang bagi menghilangkan kutu. Kumpulan ahli arkeologi itu turut menemui bukti mikroskopik kutu kepala pada objek purba tersebut.


"Semoga gading ini dapat menghilangkan kutu pada rambut dan jambang," demikian menurut ayat tersebut yang ditu­lis menggunakan abjad Kanaan.


Abjad Kanaan dicipta sekitar 4,000 tahun lalu oleh penduduk yang tinggal di tanah Kanaan iaitu kawasan di sekitar Palestin, Lebanon, Sy­ria, Jordan serta Israel.


Kumpulan pakar yang me­nemui objek itu berkata, ia memberi gambaran mengenai penggunaan awal tamadun manusia bagi abjad purba serta pengaruhnya ke atas abjad Hebrew, Arab, Greek, Latin dan Cyrillic.


Sikat tersebut ditemui pada 2017 di sebuah tapak arkeologi di Tel Lachish, Israel, namun pada tahun ini, seorang pakar terbabit, Dr. Madeleine Mumcuoglu baru menyedari terdapat sebaris ayat pada objek itu.


"Ini adalah pencapaian dalam sejarah kebolehan manusia untuk menulis," kata Profesor Yosef Garfinkel dari Universiti Hebrew.


Sisir kecil itu mempunyai satu sisi dengan gigi tebal untuk meleraikan simpulan pada rambut, manakala sisi yang satu lagi mempunyai gigi halus untuk menghilangkan kutu dan telurnya, sama seperti sikat kutu dua belah hari ini yang dijual di kedai.


Kesemua 17 huruf Kanaan pada sikat itu adalah dalam bentuk purba, dari peringkat pertama penciptaan abjad sekitar 100 tahun selepas abjad pertama kali dicipta. - Sumber Daily Mail.


Ayat ini menasihati orang ramai untuk menggunakan sikat pada rambut dan jambang bagi menghilangkan kutu. - Foto AFP.

Sikat tersebut mula ditemui pada 2017 di sebuah tapak arkeologi di Tel Lachish. - Foto Daily Mail.


EmoticonEmoticon