Ahad, 27 November 2022

Sandal lama milik pengasas Apple dijual pada RM993,000


Sepasang sandal lama Birkenstock yang dimiliki dan pernah dipakai oleh pengasas bersama Apple, mendiang Steve Jobs dijual pada harga lebih AS$200,000 (RM908,260).


CNN melaporkan, sandal suede coklat itu yang dijangka meraih AS$60,000 (RM272,478), dijual pada harga AS$218,750 (RM993,409) dalam satu lelongan di Julien's Auctions.


Sebelum jualan itu, menurut laman web lelongan dari Carlifornia itu, sandal milik Jobs tersebut 'digunakan dengan baik' tetapi masih berada dalam keadaan yang masih utuh.


Sandal itu pernah dipakai oleh Jobs sekitar tahun 1970-an hingga 1980-an sebelum dia meninggal dunia pada 2011 akibat komplikasi daripada kanser pankreas.



"Steve Jobs mengubah dunia bukan sahaja dengan inovasi revolusinya tetapi dengan gaya kepimpinan perniagaan dan fesyennya dalam pemakaian sandal," kata Darren Julien, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas Julien's Auctions kepada CNN dalam satu kenyataan.


Menurutnya, sandal Birkenstocks itu dipakai oleh Jobs ketika dia mencipta sejarah dalam pembuatan komputer Apple.


Kasut itu dijual dalam jualan awam Icons and Idols: Rock 'n' Roll oleh Julien's Auctions yang menampilkan memorabilia, pakaian, peralatan muzik dan barang kemas daripada pemuzik dan tokoh budaya pop termasuk Elvis Presley, Kurt Cobain dan John Lennon.


Pada Oktober tahun lalu, sepasang kasut Nike yang dipakai oleh legenda bola keranjang Michael Jordan dijual pada harga AS$1.47 juta (RM6.7 juta), memecahkan rekod harga jualan tertinggi untuk sepasang kasut di lelongan.


Sandal lama Birkenstock lama yang dimiliki dan dipakai oleh pengasas bersama Apple. - Foto Agensi.


EmoticonEmoticon