Seorang lelaki di China merahsiakan kejayaannya memenangi loteri berjumlah 219 juta yuan (RM143 juta) daripada isteri dan anaknya kerana dia bimbang mereka akan menjadi 'malas'.
Bagi melindungi identitinya, lelaki itu yang hanya mahu dikenali sebagai Mr Li mengenakan kostum kartun berwarna kuning ketika menuntut hadiah kemenangannya di pejabat loteri pada minggu lalu.
Menurut Li, dia berasa seronok dengan kemenangan tersebut dan akan terus merahsiakan perkara itu daripada keluarganya.
"Saya tidak beritahu isteri dan anak kemenangan ini kerana tidak mahu mereka menjadi terlalu malas dan selesa kerana mengetahui kami mempunyai duit yang banyak.
"Sebaliknya, saya lebih selesa jika kami hidup seperti biasa dengan anak saya boleh mencari kerja untuk masa depannya," katanya.
Sebelum menuntut kemenangannya pada 24 Oktober lalu, Li tinggal selama seminggu di sebuah hotel kerana takut kehilangan tiket loteri. Dia juga langsung tidak keluar dari bilik dan hanya memesan makanan secara dalam talian.
"Saya tidak tidur pada malam 21 Oktober apabila mengetahui bahawa saya telah memenangi jackpot berjumlah 219 juta yuan," katanya.
Menurut laporan SCMP, selepas mengambil hadiah di Pusat Pengedaran Loteri Kebajikan Guangxi di Bandar Nanning, dan membayar cukai 43 juta yuan, Li turut menderma 5 juta yuan kepada badan kebajikan.
Li yang kerap membeli tiket loteri selama lebih sedekad kini menganggap dirinya peminat permainan itu. Li telah membeli dan bertaruh pada tujuh nombor yang sama dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
"Saya menganggap membeli loteri sebagai hobi, dan keluarga saya tidak kisah. Selain itu, saya tidak membelanjakan banyak wang untuk itu, dan loteri memberikan sinar harapan untuk saya," kata Li.
Li berkata dia belum memikirkan bagaimana dia akan membelanjakan wang itu dan akan meluangkan masa untuk merancangnya.
EmoticonEmoticon