Ahad, 13 November 2022

Kejadian pelik, beribu-ribu ikan melompat naik ke atas jambatan


Penduduk Koh Lanta, di wilayah Krabi, Thailand alami kejadian pelik apabila beribu-ribu ekor ikan melompat naik ke atas sebuah jambatan di pulau berkenaan, lapor laman berita Thaiger pada 10 November 2022.


Mereka menangkap dan membawa pulang ikan-ikan itu untuk dimakan. Kejadian aneh ikan melompat itu disedari seorang penduduk ketika berlabuh di sebuah jeti.


Baka ikan tersebut dikenali sebagai 'Ta Maew', sejenis ikan yang sering ditemui di Koh Lanta, demikian menurut pegawai di pejabat perikanan wilayah Krabi.


Pegawai tersebut berkata, ikan itu akan berenang ke Koh Lanta pada dua musim iaitu Mac dan November. Ia dikatakan pergi ke Koh Lanta untuk bertelur.


Seorang penduduk, Sunan Madsaron berkata, meskipun ia sesuatu yang normal untuk melihat kawanan ikan Ta Naew berenang di sepanjang pantai, dia tidak pernah melihat ikan-ikan itu melompat ke atas jambatan.


Kejadian tersebut masih menjadi misteri kerana tidak diketahui sebab mengapa ikan-ikan berkenaan melompat ke atas jambatan, namun apa yang pasti ikan akan sesekali melompat keluar dari air kerana paras oksigen dalam air menjadi rendah.


Kejadian itu telah memberi durian runtuh kepada penduduk kampung yang mendapat rezeki percuma. Beberapa penduduk kampung dilaporkan berjaya mengisi guni baja mereka dengan hasil tangkapan ikan tersebut. - Sumber The Thaiger.


Seorang penduduk dilaporkan terserempak dengan longgokan ikan sedang melompat ketika berlabuh di sebuah jeti. - Foto Thaiger.


EmoticonEmoticon