Sebuah kereta Ferrari klasik yang sebelum ini dibiar tersadai di dalam sebuah bangsal selama 40 tahun bakal dilelong pada harga yang dianggar boleh mencecah £1.5 juta (RM8.1 juta), lapor akhbar The Sun pada 16 November 2022.
Model Ferrari 365 GTB/4 Daytona Berlinetta keluaran tahun 1969 itu dikeluarkan dari sebuah bangsal di Jepun pada 2017.
Menurut laporan, kira-kira 1,200 model Daytona telah dihasilkan sekitar 1969 hingga 1973, namun hanya lima buah versi ringan dibina daripada aluminium.
Daripada lima kenderaan itu, hanya satu yang dihasilkan untuk kegunaan atas jalan berbanding perlumbaan trek.
Satu-satunya model itu sebelum ini dianggap hilang selama-lamanya, namun ia ditemui di bangsal tersebut, sekali gus membawa kepada jualan model itu kepada orang awam di Itali.
Muzium Musei Ferrari di bandar Modena berkongsikan gambar model Daytona tersebut di laman Facebook miliknya yang memaparkan kenderaan tersebut diselaputi habuk.
Ia bakal menjalani proses baik pulih oleh syarikat Ferrari sendiri, namun firma dari Itali itu berpendapat orang ramai perlu diberi peluang menyaksikan keadaan kenderaan itu yang asal.
"Sebuah model unik. Ia adalah satu-satunya 'aloi' Daytona yang wujud," kata Musei Ferrari pada akaun Facebook.
Tidak seperti kebanyakan Daytona yang lain, kereta tersebut dilengkapi lampu depan Plexiglas dan tingkap elektrik.
Ia diimport ke Jepun pada 1971 dan dimiliki oleh tiga pemilik dengan pemilik terakhir menyimpan kenderaan itu selama hampir empat dekad. - Sumber The Sun.
EmoticonEmoticon