Sabtu, 19 November 2022

Bapa minta keluarga guna lampu suluh jimat elektrik selepas bil bulanan meningkat 2 kali ganda


Sebuah keluarga di Britain menjalani kehidupan harian dalam keadaan bergelap kerana mengamalkan 'dasar tiada elektrik' di rumah bagi menjimatkan bil tenaga bulanan, lapor akhbar Metro UK pada 17 November 2022.


Chavdar Todorov, 53, mengajak ahli keluarganya menjalani gaya hidup sedemikian dengan hanya memasang sistem pemanas sekali seminggu. Dia juga menggalakkan isteri dan anak-anaknya memakai jaket atau selimut bagi mengelak daripada kesejukan.


Keluarga itu terpaksa mengubah gaya hidup mereka selepas bil tenaga kediaman tersebut didapati meningkat dua kali ganda menjadi £320 (RM1,732) sebulan.


Disebabkan itu, Chavdar mendapat idea untuk menggunakan lampu kepala agar mereka tidak perlu menggunakan tenaga elektrik. Keluarga itu juga menggunakan lilin untuk menyalakan rumah mereka.


"Ia bagaikan hidup semasa abad ke-18," kata Chavdar, semasa menyesuaikan diri dengan gaya hidup sedemikian.



Tambahnya, dia kini berjalan di dalam rumahnya menggunakan lampu kepala tanpa menghidupkan lampu.


"Kami mengurangkan aktiviti menonton televisyen dan hanya menonton sekali sekala," katanya.


Menurut isterinya, Moda, 49, dan anak-anak mereka, Teo, 14, dan Nicole, 20, cuba berfikir positif, namun agak sukar untuk melakukan demikian.


"Kami memadam lampu di rumah dan hanya menggunakan lampu suluh namun, ia agak menakutkan dan saya berasa tidak selamat. Terdapat banyak kes kecurian di kawasan kejiranan kami," ujarnya.


Chavdar Todorov berkata malamnya kini terasa seperti hidup 'dalam abad ke-18'. - Foto SWNS.

Chavdar dan isterinya serta anak-anak mereka menggunakan lampu kepala bagi menjimatkan tenaga elektrik. - Foto SWNS.


EmoticonEmoticon