Rabu, 23 November 2022

AS sedang bersiap sedia kerah 6 pesawat pengebom B-52 berkeupayaan nuklear ke utara Australia


Amerika Syarikat (AS) merancang untuk mengerahkan sehingga enam buah pesawat pengebom B-52 berkeupayaan nuklear ke pangkalan udara di utara Australia, lapor Australian Broadcasting Corporation (ABC) pada 30 Oktober 2022 lalu.


Menurut ABC memetik dokumen AS, Washington sudah merangka pelan terperinci untuk membina kemudahan khusus bagi pesawat berkenaan di Pangkalan Udara Tindal, kira-kira 300 kilometer (km) di selatan Darwin, wilayah utara Australia.


Kementerian Pertahanan Australia tidak mengulas mengenai laporan tersebut, namun Tentera Udara AS memaklumkan keupayaan untuk mengerahkan pesawat pengebom ke Australia menghantar mesej kuat kepada musuh mengenai hasrat Washington untuk menggerakkan kuasa udara.


Penganalisis dari Center for New American Security, Becca Wasser berpandangan tindakan AS merupakan amaran kepada China di tengah-tengah kebimbangan republik itu mungkin boleh menceroboh pulau Taiwan.


"Mempunyai pesawat pengebom yang berupaya menjangkau dan berpotensi menyerang tanah besar China dilihat penting, dan menghantar isyarat kepada republik itu bahawa sebarang tindakan ke atas Taiwan mampu memberi kesan," katanya.


Ketegangan yang semakin memuncak antara Beijing dan AS ketika ini menjadikan Australia utara sebagai hab pertahanan penting bagi Washington. Malah, negara itu komited untuk membelanjakan AS$1 bilion (RM4.72 bilion) untuk menaik taraf aset ketenteraan di rantau itu.


Sementara itu, menurut laporan ABC, rancangan Washington itu termasuk pembinaan 'kemudahan operasi skuadron' untuk digunakan pada musim kemarau di Wilayah Utara, pusat penyelenggaraan bersebelahan dan kawasan tempat letak pesawat untuk B-52.


Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, terbabit dalam kerjasama dengan AS mengenai Pakatan Pertahanan dari masa ke semasa.


"Sudah tentu, ada lawatan ke Australia termasuk di Darwin yang mempunyai tentera AS, secara bergilir-gilir ditempatkan di sana," katanya pada sidang media.


Wilayah Utara Australia menjadi tuan rumah kepada kerjasama ketenteraan yang kerap diadakan dengan AS. Setiap tahun, ribuan tentera laut mengadakan latihan bersama, bermula di bawah Presiden AS terdahulu, Barack Obama.


Tahun lalu, AS, Britain dan Australia memeterai perjanjian keselamatan yang akan menyediakan Australia dengan teknologi menggunakan kapal selam berkuasa nuklear, sekali gus membimbangkan China. - Sumber ABS.


Pesawat pengebom B-52. - Foto Reuters.


EmoticonEmoticon