Ahad, 20 November 2022

Anwar ulangi PH cukup 112 kerusi untuk tubuh kerajaan Persekutuan


Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam ini sekali lagi menegaskan gabungan itu mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan Persekutuan, selain mengakui sudah mempunyai 112 kerusi.


Susulan itu, Anwar yang juga Presiden PKR, yakin beliau akan diberi peluang untuk menjadi Perdana Menteri.


Namun begitu, Ahli Parlimen Tambun tersebut masih merahsiakan gabungan politik yang bakal bersama PH dalam membentuk kerajaan baharu nanti.


"Dari semalam lagi saya sah kata kita sudah cukup dan melebihi angka 112 dan yakin saya akan diberi peluang untuk menerajui negara lepas ini.


"Bagaimanapun, saya mahu ia dilakukan dengan cara yang betul. Biar mereka (parti atau Ahli Parlimen yang akan bekerjasama) mengeluarkan kenyataan sendiri.


"Apa pun, saya gembira kerana kita sudah menyelesaikannya. Saya fikir dengan sokongan yang diperoleh, saya yakin, insya-Allah, saya akan diberi peluang untuk menerajui negara ini.


"Apa-apa pun kita akan serahkan kepada Yang di-Pertuan Agong seperti apa yang dititahkan Istana Negara.


"Yang lain-lain sabar dahulu, ikut macam 'Anwar' yang sudah lama sabar ni," ujarnya ketika ditemui pemberita di luar kediamannya di Kajang, malam ini.


BACA: BN tidak pernah berunding tubuh Kerajaan Persekutuan bersama GPS, PN - Ahmad Zahid.


Pengerusi PH, Anwar Ibrahim ketika bertemu pemberita di luar kediamannya di Kajang, tadi.


EmoticonEmoticon