Isnin, 21 November 2022

Ahmad Maslan menegaskan mana-mana individu yang menandatangani SD lain, adalah tidak sah


Sebelumnya, media melaporkan dakwaan 20 ahli Parlimen BN yang menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyatakan sokongan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-10.


Menurut sumber dalaman BN, 20 daripada 30 ahli Parlimen yang menang itu sedia untuk menandatangani akuan bersumpah (SD) yang menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dilantik sebagai Perdana Menteri sekali gus membentuk Kerajaan Persekutuan.


Bagaimanapun, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan sebentar tadi menegaskan bahawa mana-mana individu yang menandatangani SD lain, adalah tidak sah.


Katanya, tindakan tersebut telah melanggar SD yang telah ditandatangani sebelum ini untuk menjadi calon.


"Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan buat keputusan berdasar perundingan oleh jawatankuasa yang dibentuk.


"Kenyataan BN sudah ikut mana-mana gabungan adalah tidak benar dan maklum balas perundingan akan dibawa ke Majlis Tertinggi (MT) BN," katanya menerusi Facebook.


Dalam masa sama Ahmad Maslan memohon agar diberikan tambahan masa supaya penyerahan SD kepada Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun ditangguhkan.


"Minta tambahan masa agar SD kepada Speaker ditangguh, bukan 2 petang ini," katanya.


EmoticonEmoticon