Sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan menemui 63 bangkai kucing, seekor bangkai anjing dan 80 haiwan masih hidup dalam keadaan kurus kering di sebuah rumah di Bangkok pada Jumaat lalu, lapor laman berita Thaiger pada 7 November 2022.
Watchdog Thailand bekerjasama dengan pasukan polis dari Balai Polis Khan Na Yao dan Jabatan Ternakan, bagi memeriksa rumah tersebut selepas menerima laporan penduduk setempat yang bimbang berlakunya pengabaian haiwan di kediaman tersebut.
Menurut polis dan jabatan ternakan, mereka menghidu bau busuk sejurus memasuki rumah itu sebelum menemui bangkai kucing dan najis haiwan di merata-rata tempat.
Mereka turut menemui 80 ekor kucing dan anjing yang diabaikan dengan ada antaranya dikurung di dalam sangkar selain sebilangan lagi dibiar berkeliaran.
Haiwan-haiwan yang masih hidup memakan bangkai haiwan lain akibat kelaparan dan ada antaranya yang mungkin telah mati selama lebih setahun, kata Watchdog Thailand.
Tambah organisasi itu, penemuan paling mengejutkan adalah bangkai beberapa ekor kucing di dalam beg plastik hitam yang disumbat ke dalam peti sejuk.
Menurut polis, pemilik rumah tersebut yang merupakan seorang wanita berusia 40 tahun, berada di dalam rumah itu ketika kediaman berkenaan diserbu.
Dia melarikan diri dengan memandu sebuah kereta sebelum merempuh dinding dan pengsan. Polis menghubungi ambulans untuk membawa suspek ke hospital.
Hasil daripada serbuan itu, pihak berkuasa berjaya menyelamatkan 80 haiwan dan membawanya ke sebuah hospital haiwan untuk menerima rawatan. Kesemua haiwan itu kemudian akan dibawa ke Chiang Mai untuk dijaga oleh Yayasan Pemuliharaan Gajah dan Alam Sekitar.
Watchdog Thailand berkata, suspek mengeksploitasi haiwan-haiwan itu menggunakan laman Facebook untuk mengumpul sumbangan orang ramai.
Pada bulan Mac, Watchdog Thailand menyelamatkan lebih daripada 20 kucing yang dikurung dalam sebuah rumah di wilayah Samut Prakan. Lima ekor kucing ditemui mati. - Sumber The Thaiger.
EmoticonEmoticon