Isnin, 24 Oktober 2022

Wanita miliki kuku terpanjang dunia dedah kematian anak punca tidak potong


Wanita dengan kuku tangan paling panjang di dunia, Diana Armstrong, 64, mendedahkan punca dia berhenti memotong kuku disebabkan kematian anak perempuannya, lapor akhbar Daily Mail pada 6 Oktober 2022.


Menurut Armstrong, anaknya, Latisha meninggal dunia semasa tidur akibat serangan asma semasa berusia 16 tahun.


Mendiang ialah individu yang bertanggungjawab merias kuku Armstrong setiap hujung minggu dan selepas kematiannya, wanita itu bersumpah tidak akan memotong kuku tangan lagi.


Kali terakhir Armstrong memotong kuku tangannya adalah pada tahun 1997. Kukunya kini berukuran 13 meter yang bersamaan panjang sebuah bas sekolah.


"Ini adalah cara bagaimana saya mengenang Latisha selepas dia meninggalkan saya secara tiba-tiba.


"Hanya dia sahaja yang tahu bagaimana mahu merias kuku saya dengan baik dan saya mahu sentuhan kali terakhirnya pada kuku saya tidak hilang," katanya.



Menurut Armstrong, sejak memiliki kuku panjang, dia terpaksa melupakan hasrat memandu kenderaan, pergi ke tandas awam dan sering bergelut untuk menarik zip pakaian.


Dia memberitahu Guinness bahawa ia mengambil masa antara empat hingga lima jam untuk mengecatnya, dan menggunakan sekitar 15 hingga 20 botol pengilat kuku.


"Kerana proses yang panjang, saya tidak pernah pergi ke salon kuku selama kira-kira 22 tahun. Jadi cucu-cucu saya akan datang membantu," jelasnya.


Sebelum ini, wanita Texas, Ayanna Williams pernah memegang rekod dunia, tetapi memutuskan untuk memotong kukunya tahun lalu selepas 'membesarkannya' selama tiga dekad.


Diana Armstrong memiliki kuku terpanjanga di dunia. - Foto Guinness Book of World Records.

Kali terakhir dia memotong kuku adalah pada 1997. - Foto Guinness Book of World Records.


EmoticonEmoticon