Ahad, 30 Oktober 2022

Seribu kali ganda daripada jumlah sebenar, lelaki bayar tambang teksi RM31,593


Seorang penumpang hampir berputih mata apabila tersilap membayar lebih 1000 kali ganda harga tambang teksi dinaikinya apabila menekan beberapa butang tambahan ketika membuat pembayaran secara dalam talian.


Ketika tergesa-gesa memindahkan wang kepada pemandu teksi menggunakan telefon bimbit, penumpang tersebut secara tidak sengaja membayar sebanyak 253,303 baht (RM31,593) untuk tambang yang hanya berharga 253 baht (RM31.55).


Menurut portal berita The Thaiger, penumpang tersebut dilaporkan menggunakan khidmat teksi untuk perjalanan ke Phahonyothin Soi 64 di Bangkok dan dijemput oleh pemandu, Thanasorn Thongdee.


Penumpang tersebut hanya menyedari kesilapannya itu pada keesokan hari ketika menyemak baki akaun banknya.


Penumpang itu kemudiannya menelefon talian kecemasan trafik dan turut meminta bantuan sebuah stesen radio tempatan yang terkenal dengan kecekapan membantu pemanggil mencari barang yang hilang.


Lelaki tersebut bernasib baik apabila stesen radio berkenaan berjaya mengesan Thanasorn melalui butiran lebihan bayaran yang tidak disengajakan itu.


Lelaki tersebut bertuah apabila Thanasorn sememangnya mempunyai sifat baik dan sering memulangkan barangan yang tertinggal di dalam teksinya termasuk mata wang dari pelbagai negara.


Lelaki berkenaan amat bersyukur apabila Thanasorn hadir dan memulangkan semula lebihan bayaran tersebut yang sangat diperlukan untuk membayar keperluan ibunya yang sedang sakit. - Sumber The Thaiger.


Seorang penumpang tidak sengaja membayar tambang teksi 1000 kali ganda daripada jumlah sebenar di Thailand. - Foto Agensi.


EmoticonEmoticon