Rabu, 5 Oktober 2022

Seramai 140 juta orang di Bangladesh bergelap 6 jam akibat bekalan elektrik terputus


Seramai 140 juta penduduk Bangladesh terpaksa bergelap hampir enam jam dalam satu insiden bekalan elektrik terputus yang didakwa sebagai terbesar di dunia setakat ini, lapor akhbar The Sun pada 4 Oktober 2022.


Jalan-jalan yang biasanya terang benderang di tengah Dhaka dan bandar-bandar lain gelap pada waktu petang. Masih tidak jelas apa yang menyebabkan bekalan elektrik terputus, namun menurut syarikat utiliti tenaga milik kerajaan, pemadaman kuasa elektrik besar-besaran itu dikatakan berlaku akibat 'kegagalan misteri' pada tapak grid elektrik.


Sehingga petang tadi, tiada penjelasan lanjut dibuat mengenai punca tenaga elektrik terputus di hampir 80 peratus kawasan di seluruh Bangladesh sejurus selepas pukul 2 petang (waktu tempatan) semalam.


Menurut jurucakap Lembaga Pembangunan Tenaga, Shamim Ahsan, hanya beberapa kawasan di barat laut Bangladesh yang 'terselamat' daripada gangguan bekalan tersebut.


"Punca kejadian masih dalam siasatan tetapi berkemungkinan besar ia disebabkan masalah teknikal," jelas Shamim.


Sementara itu, jurucakap syarikat grid kuasa milik kerajaan negeri, A.B.M Badruddoza berkata, bekalan elektrik di separuh daripada kawasan yang terjejas kembali pulih menjelang lewat petang hari yang sama.


Bangladesh telah mengalami krisis kuasa terbesar dalam beberapa bulan kebelakangan ini akibat daripada harga tenaga global yang lebih tinggi berikutan pencerobohan Russia ke atas Ukraine.


Ini telah mendatangkan malapetaka pada grid elektrik Bangladesh dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dengan utiliti bergelut untuk mendapatkan sumber diesel dan gas yang mencukupi untuk memenuhi permintaan.


Mata wang yang menyusut dan rizab pertukaran asing yang semakin berkurangan menyebabkan Bangladesh tidak dapat mengimport bahan api fosil yang mencukupi, memaksanya menutup loji diesel dan membiarkan beberapa stesen jana kuasa gas terbiar.


Kerajaan melaksanakan pemotongan elektrik yang berpanjangan untuk menjimatkan stok sedia ada pada Julai lalu dengan gangguan berlarutan sehingga 13 jam sehari pada waktu kemuncaknya.


Kali terakhir Bangladesh mengalami pemotongan bekalan elektrik tidak berjadual adalah pada November 2014 apabila kira-kira 70 peratus negara itu terputus bekalan elektrik selama hampir 10 jam. - Sumber The Sun.


Keadaan di kawasan kejiranan semasa bekalan elektrik terputus di Dhaka kelmarin. - Foto AP.


EmoticonEmoticon