Satu kajian mendapati lebah boleh bermain 'bola sepak' sama seperti manusia, selepas sekumpulan penyelidik menjalankan eksperimen terhadap beberapa ekor lebah dengan memberinya bola kecil, lapor akhbar The Sun.
Dalam kajian tersebut, beberapa ekor lebah dilihat berulang kali menolak sebiji bola kecil walaupun tidak mempunyai tujuan untuk berbuat demikian.
Sama seperti permainan bola sepak antara manusia, lebah muda dilihat lebih sibuk 'bermain bola' berbanding serangga yang lebih tua dengan mengerumuninya sebanyak 117 kali.
Ujian selanjutnya mendapati ia pergi ke arah bola dan tidak memilih makanan. Kajian itu menunjukkan lebah juga bermain permainan itu untuk keseronokan.
"Sudah tentu mengejutkan, kadang-kadang lucu untuk menonton lebah bermain. Ia mendekati dan memanipulasi 'mainan' itu berulang kali," kata seorang penyelidik dari Queen Mary University of London, Samadi Galpayage.
Kajian itu menunjukkan bahawa walaupun lebah memiliki saiz dan otak yang kecil, ia lebih bijak daripada makhluk robot yang kecil.
Prof Lars Chittka, yang mengetuai kajian itu, berkata lebah akan dapat menyesuaikan diri dengan perubahan dalam persekitaran semula jadi mereka.
"Lebah-lebah itu kelihatan seronok bermain dengan bola dan belajar bagaimana untuk menjaringkan gol dengan sangat cepat, tetapi saya tidak fikir kita akan melihat mana-mana daripada mereka bermain di Wembley tidak lama lagi," katanya.
Bagaimanapun, kumpulan kebajikan haiwan mengecam kajian itu selepas didedahkan lima daripada 49 lebah mati akibat 'sebab semula jadi' semasanya.
"Lebah adalah serangga yang bijak dan kompleks dan harus ditinggalkan sendirian untuk menjalani kehidupan mereka," kata Elisa Allen, dari People for the Ethical Treatment of Animals.
EmoticonEmoticon