Ahad, 9 Oktober 2022

Ribuan ikan salmon liar mati akibat kemarau, sungai di British Columbia kering


Spesies salmon liar menjadi mangsa terbaharu akibat kemarau yang melanda wilayah British Columbia di Kanada selama sebulan dengan beribu-ribu bangkai ikan itu bertaburan di sepanjang tebing sungai, lapor laman berita Wion News pada 8 Oktober 2022.


Dalam sebuah klip video yang dikongsikan secara online minggu lalu, bangkai-bangkai ikan salmon spesies merah jambu dan chum didapati terapung dan hanyut ke tebing sungai. Ahli biologi berkata lebih 70 peratus daripada ikan mati di dasar anak sungai sebelum sempat membiak.


Salmon liar sering menunggu hujan sebagai petunjuk untuk 'menongkah' arus sungai kerana paras air yang meningkat akan memudahkan ia berenang ke lokasi kelahiran asal.


"Sungguh menyedihkan untuk melihat perkara ini berlaku. Paras air sungai adalah rendah di kebanyakan kawasan sekarang dan bukan hanya di rantau Heiltsuk, British Columbia. 


"Kami menyaksikan kematian ikan salmon sebelum ia sempat bertelur secara tahunan. Tetapi belum pernah sampai ke tahap ini," kata pengurus pertubuhan pemuliharaan Heiltsuk Nation, William Housty kepada akhbar The Guardian.



Housty mendakwa, kira-kira 10 hari yang lalu, hujan rintik pada waktu petang dan air pasang memberi isyarat palsu kepada ikan-ikan salmon untuk 'berpindah'. Anak sungai yang menjadi kering kerana ketiadaan air kemudian menyebabkan ia terkandas.


Salmon Pasifik liar sering kali mati selepas menggembara melalui anak-anak sungai yang berliku. Bangkainya kemudian diagihkan atau dimakan oleh beruang, burung, serigala atau mana-mana haiwan lain yang memberi manfaat kepada hutan.


Populasi salmon liar sejak beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan penurunan yang lebih besar.


Memandangkan hujan tidak turun di sepanjang pantai barat wilayah British Columbia sejak kebelakangan ini, banyak kawasan dilaporkan mengalami kemarau tahap empat yang dipercayai memberi kesan kepada penduduk setempat dan alam sekitar. - Sumber Wion News.


Salmon Pasifik liar sering kali mati selepas menggembara melalui anak-anak sungai yang berliku, tetapi belum pernah sampai ke tahap ini. - Foto Twitter/William Housty.

Seorang ahli biologi menganggarkan 65,000 salmon mati berada di dasar sungai. - Foto Twitter/William Housty.

Pantai barat British Columbia mengalami sedikit hujan sejak lima minggu lalu dan beberapa kawasan mengalami kemarau tahap empat. - Foto Twitter/William Housty.


EmoticonEmoticon