Ahad, 30 Oktober 2022

Lelaki kantoi 'tinggal' bertahun-tahun di dalam pusat beli belah


Seorang lelaki berkongsi pengalamannya tinggal secara percuma dengan bersembunyi selama bertahun-tahun di dalam ruang sempit sebuah pusat beli belah di Amerika Syarikat, tanpa disedari oleh sesiapa.


Michael Townsend berjaya menyelinap masuk ke satu ruangan kecil yang tersorok daripada pandangan kakitangan dan pengunjung pusat beli belah berkenaan.


Bagaimanapun, rahsia yang disimpan rapi itu terbongkar selepas terserempak pengawal keselamatan yang menjalankan rondaan.


Townsend berkata, tindakan itu terpaksa dibuat kerana dalam keadaan terdesak selepas dihalau dari rumahnya dan tidak mempunyai pilihan lain.


Ketika sedang berusaha mencari kediaman baharu, dia terbaca iklan di sebuah pusat beli belah yang terdapat sebuah bilik kosong di premis berkenaan.



Dia kemudiannya membuat keputusan untuk tumpang tidur di premis berkenaan, namun dalam masa sama menghias ruang menjadi sebuah bilik yang dilengkapi perabot.


Malah, lelaki itu turut mempelawa rakannya untuk menetap bersama di premis berkenaan. Kisah pada 1999 itu dikongsi Townsend dalam satu wawancara bersama Daily Star, baru-baru ini.


Townsend juga memaklumkan dia sebenarnya hanya bercadang untuk tinggal selama seminggu namun tidak menyangka berlanjutan sehingga bertahun-tahun.


Menurut NBC News, Townsend dan rakan-rakannya juga membina dinding blok angin dan pintu utiliti untuk menyembunyikannya. Sebelum ditangkap, Townsend mempunyai rancangan untuk memasang lantai kayu, bilik tidur kedua dan dapur. - Sumber Irish Mirror.




EmoticonEmoticon