Sabtu, 1 Oktober 2022

Jurugambar rakam 'tapak perkuburan paus' yang menyeramkan di Greenland


Seorang jurugambar dari Sweden, Alex Dawson berjaya mengungguli tempat pertama Kategori Sudut Lebar Pertandingan Fotografi Dalam Air 2022 Selam Skuba menerusi foto tapak perkuburan paus di dasar laut, lapor akhbar Mirror UK pada 29 September 2022.


Dawson menggunakan laman Twitter untuk menyiarkan gambar yang dirakamnya di bawah gunung ais di Greenland, bagi berkongsi kegembiraannya memenangi hadiah pertama.


"Saya amat berbesar hati kerana majalah Scuba Diving Magazine memilih gambar saya sebagai pemenang 2022 dalam kategori pandangan lebar," tulisnya.


Siaran itu telah menerima lebih 43,000 suka dan lebih 6,000 tweet semula sejak dikongsi. Ramai pengguna media sosial telah mengulas, mengucapkan tahniah kepada jurugambar itu atas pencapaiannya.



Dawson turut mendedahkan kesukaran yang dihadapi semasa proses rakaman gambar tersebut dalam keadaan suhu sejuk beku -2 darjah Celsius.


Di bawah lapisan ais setebal 91 sentimeter yang terbentuk di Teluk Tasiilaq, Greenland, Dawson dan temannya, Anna Von Boetticher berenang di kawasan menempatkan sejumlah 20 bangkai paus untuk merakam gambar itu.


"Biasanya untuk melihat tulang ikan paus seperti ini anda memerlukan kapal selam. Di Greenland, ia terletak hanya 4.5 meter hingga 6 meter di bawah permukaan air, dan kekal hampir tidak disentuh.


"Untuk masuk ke bawah ais, satu-satunya pintu masuk adalah melalui lubang kecil bersaiz manusia di dalam ais. Kami berenang di bawah ais selama lebih sejam untuk menangkap gambar," katanya. - Sumber Mirror UK.


Tapak kubur paus yang ditemui Dawson di teluk Tasiilaq, Greenland. - Foto Alex Dawson.


EmoticonEmoticon