Sabtu, 8 Oktober 2022

Bomba selamatkan warga emas jatuh perigi


Seorang lelaki warga emas cedera bahagian perut selepas terjatuh dalam sebuah perigi sedalam 2.4 meter di Kampung Batu 8, Mantin di Nilai, Seremban pada hari Jumaat, 7 Oktober 2022.


Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.29 pagi.


"Lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Mantin bergegas ke lokasi dan mendapati mangsa seorang lelaki berusia 60 tahun terperangkap dalam sebuah perigi berkedalaman 8 kaki yang tidak lagi digunakan.


"Mangsa mengalami kecederaan di bahagian perut dan dia berjaya diselamatkan dengan menggunakan tangga," katanya ketika dihubungi.


Menurut jurucakap tersebut, mangsa telah diserahkan kepada pasukan kesihatan dan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar di Seremban untuk rawatan lanjut.


Jelasnya, setakat ini punca mangsa terjatuh ke dalam perigi masih dalam siasatan memandangkan warga emas itu tidak fasih berbahasa Melayu.


Bomba menyelamatkan warga emas yang terjatuh dalam perigi di Kampung Batu 8, Mantin menggunakan tangga. - Foto Ihsan Bomba.

Mangsa dibawa ke hospital dengan ambulans. - Foto Ihsan Bomba.


EmoticonEmoticon