Bola yang terkena tangan ketika Diego Maradona mengejutkan dunia dengan jaringan kontroversi di Piala Dunia Mexico 1986, akan dilelong 16 November ini dan dijangka mencapai harga sekitar 2.5 juta pounds (RM13.14 juta).
Bola itu digunakan di suku akhir perlawanan antara Argentina dan England, apabila Maradona menjaringkan gol selepas enam minit babak kedua dengan menumbuk bola menewaskan penjaga gol England, Peter Shilton yang dikatakan sebagai 'Tangan Tuhan'.
Empat minit kemudian, dia menggelecek bola dari kawasan sendiri melepasi beberapa pemain England untuk menjaringkan gol kedua yang dianggap antara jaringan tercantik dalam sejarah Piala Dunia.
Bola itu kini milik pengadil Tunisia Ali Bin Nasser, yang bertugas pada perlawanan suku akhir ketika itu antara England dan Argentina pada Piala Dunia di Mexico, 36 tahun lalu.
"Bola itu adalah sebahagian daripada sejarah bola sepak antarabangsa, rasanya ini adalah masa tepat untuk berkongsi dengan seluruh dunia," kata Nasser.
"Saya harap pembeli akan meletakkannya sebagai pameran atau berkongsi dengan orang ramai dengan cara sendiri," katanya.
Lelongan itu akan dikendalikan Graham Budd pada 16 November dengan pembida boleh mendaftar mulai 28 Oktober ini.
Sebelum ini, jersi dipakai Maradona pada perlawanan itu dijual pada harga 7.14 juta pounds (RM37.53 juta) pada awal tahun ini.
Maradona yang dianggap antara pemain bola sepak terbaik dunia sepanjang zaman meninggal dunia pada November 2020 pada usia 60 tahun.
EmoticonEmoticon