Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kesediaan untuk memegang jawatan Perdana Menteri buat kali ketiga, sekiranya terus menerima desakan dan tiada calon lain yang bersesuaian.
Menurut Tun, dia sebenarnya mahu memilih untuk berehat dan hanya memainkan peranan sebagai penasihat. Namun, katanya jika terus menerima desakan, beliau tidak keberatan untuk menjadi perdana menteri sekali lagi.
"Kalau nak fikir tentang kedudukan, saya lebih suka kalau boleh berehat. Walaupun berehat, saya akan memainkan peranan sebagai pakar rujukan, atau memberi nasihat, itu boleh kita buat.
"Tetapi, kalau desakan demi desakan datang, saya nak fikir tentang diri sendiri pun susah, jadi kalau desakan datang dan tiada calon lain, saya terimalah," katanya pada program 'Hard Talk with Dr Mahathir' di Pusat Konvensyen Bangi.
Bekas Perdana Menteri itu turut memaklumkan, sekiranya dilantik sekali lagi, berkemungkinan beliau tidak akan memegang jawatan itu dalam tempoh yang terlalu panjang mengambil kira keadaan semasanya.
"Tak bolehlah sampai lima tahun, mungkin satu tahun sahaja, tapi kalau orang nak, pasal saya tak nak orang anggap saya tubuh PEJUANG, tubuh Gerakan Tanah Air untuk saya jadi Perdana Menteri kali ketiga, itu bukan niat saya.
"Saya cuma nak tentukan dasar-dasar yang menolong orang Melayu dapat dilaksanakan oleh kerajaan yang prihatin, yang sayang kepada bangsa, negara dan agama," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menegur kepincangan tadbir urus kerajaan hari ini, salah satunya disebabkan pemimpin yang tidak layak termasuk tidak mempunyai kelulusan tinggi dilantik sebagai menteri.
"Waktu saya mula terbabit dengan UMNO, saya buat cadangan yang nak jadi calon mesti lulus sekolah standard tertentu, tetapi ramai marah sebab yang tidak ada kelulusan pun nak jadi calon.
"Tetapi sekarang ini, yang tak ada kelulusan apa pun boleh jadi menteri," katanya yang kesal kerana trend semasa yang memperlihat calon popular dan meraih sokongan ramai, biasanya diangkat sebagai calon dalam pilihan raya.
Tegasnya, pemilihan sedemikian yang mengakibatkan kualiti pentadbiran dalam kerajaan menurun.
"Saya yakin kalau kita diserang krisis kewangan, tiada siapa boleh laksanakan. Satu daripadanya kerana kualiti pemimpin sudah merosot kerana kita tidak boleh tentukan orang yang dipilih terdiri daripada orang yang ada kelulusan tertentu.
"Kalau tak diberi (jawatan) kepada orang ini, dia akan sabotaj kita, inilah masalah yang kita hadapi," katanya.
Mahathir yang kini berusia 97 tahun, berkhidmat sebagai Perdana Menteri keempat selama 22 tahun iaitu pada 1981 sehingga 2003 di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).
Beliau dilantik sebagai Perdana Menteri buat kali kedua selama 22 bulan pada 2018 hingga 2020, memimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH). - Sumber Utusan Malaysia.
EmoticonEmoticon