Selasa, 6 September 2022

Pemancing terkejut jumpa bangkai ikan matahari gergasi terdampar di pantai


Siapa sangka akan menjumpai bangkai ikan matahari gergasi, spesies ikan yang sangat jarang ditemui kerana habitatnya di laut dalam dan terpencil. Namun itulah yang dikongsi oleh dua pemancing yang menjumpai ikan tersebut terdampar di pantai.


Steven Jones dan rakannya, Linette Grzelak menemui ikan itu di satu kawasan pantai Goolwa Pipico yang terletak kira-kira 25 kilometer dari River Murray, sebuah destinasi memancing serta pelancongan popular di Australia Selatan.


Memetik lapor Daily Mail, mereka terkejut dan hampir tidak percaya apabila menemui bangkai ikan itu yang dianggarkan sepanjang 2.5 meter, dengan berat mencecah beberapa ratus kilogram terdampar di pantai tersebut.


Grzelak yang memuat naik gambar ikan itu di Facebook berkata, dia pada mulanya menyangka ikan itu adalah kayu kerana ia terlalu besar.


"Pada mulanya saya menyangka ianya palsu. Jones menemuinya terdampar di pantai dan ia kelihatan seperti kayu yang besar," katanya.


Ikan matahari atau dikenali sebagai mola mola boleh membesar hingga mencecah tiga meter panjang dengan berat mencecah 2.5 tan.


Ikan ini biasanya hanya ditemui di perairan tropika di seluruh dunia dan nelayan sering dikelirukan yang menyangka ia adalah jerung kerana sirip mereka.


Pengurus pengumpulan ikan Ralph Foster, dari Muzium Australia Selatan, menjelaskan mengapa begitu banyak ikan matahari hanyut di pantai.


"Salah satu bahaya besar akan dilanggar oleh bot besar di laut. Mereka juga sering makan beg plastik yang disangka ikan jeli, dan itu boleh membunuh mereka," katanya.


Menurut Foster, ikan matahari agak kerap terdampar di pantai Australia Selatan, dan beliau menerima beberapa laporan setiap tahun.


"Ia sebenarnya agak biasa di perairan Australia tetapi ia biasanya lebih jauh ke laut," katanya. - Sumber Daily Mail.


Ramai nelayan berpengalaman berkata mereka tidak pernah melihat ikan matahari di Australia sebelum ini. Foto Linette Grzelak.

Sunfish atau ikan matahari ini berukuran kira-kira 2.5 meter panjang dan berat beberapa ratus kilogram. Foto Linette Grzelak.

Steven Jones (kanan) bersama rakannya, Hunter bergambar bersama bangkai ikan matahari yang ditemui mereka. - Foto Linette Grzelak.

Ikan mola mola atau ikan matahari merupakan salah satu ikan purba yang masih hidup. Foto Getty Imeges.


EmoticonEmoticon