Hanya kerana tidak dibenarkan menghisap ganja, seorang lelaki dari timur laut Thailand bertindak memanjat bumbung rumahnya dan kekal berada di sana selama dua hari, lapor laman berita thethaiger.com pada 7 September 2022.
Bagaimanapun, Kantaphi yang berusia 42 tahun akhirnya turun dari bumbung rumahnya setelah berasa lapar sebelum dibawa ke hospital. Isteri Kantaphi mengakui suaminya merupakan penagih ganja.
Malah, katanya, dia terpaksa membawa suaminya dari Bangkok untuk tinggal bersama rumah mertuanya di daerah Kantharalak, wilayah Sisaket untuk menangani masalah ketagihannya.
Ketika kejadian, Kantaphi meminta bapanya yang berusia 65 tahun, Sathien Panyakom untuk memberikan ganja kepadanya.
"Namun, Sathien memberitahu dia tidak mempunyai ganja sehingga membuatkan Kantaphi merajuk lalu memanjat bumbung rumahnya kira-kira pukul 8.30 malam (waktu tempatan).
"Keesokan harinya, jiran dan beberapa rakan cuba memujuk Kantaphi untuk turun dari bumbung namun dia tetap duduk di atas walaupun ketika hujan lebat. Dia tidak bertindak agresif sebaliknya hanya mahu bersendirian di atas bumbung," jelas laporan itu.
Polis di Kantharalak, Sukit Luangsakulthai turut mengunjungi rumah Kantaphi kira-kira pukul 3 petang namun gagal memujuknya untuk turun dari bumbung.
Setelah hampir 48 jam, Kantaphi akhirnya turun dari bumbung pada pukul 6 petang selepas berasa 'terlampau panas dan lapar'. Kantaphi kelihatan lemah dan dia dibawa ke Hospital Kantharalak untuk menjalani pemeriksaan.
"Kantaphi biasanya bekerja sebagai peniaga di Bangkok, tetapi isterinya membawanya ke sini pada hari Sabtu kerana bimbang tentang penggunaan ganjanya, dan kemudian dia (isteri) memandu pulang ke Bangkok," kata Sathien. - Sumber thethaiger.com.
EmoticonEmoticon