Pokok kaktus padang pasir Saguaro gergasi yang hidup selama kira-kira 200 tahun telah tumbang dibadai hujan lebat yang melanda negeri Arizona barat daya Amerika Syarikat pada Ahad, 28 Ogos 2022 lalu. Taman Negara Arizona memaklumkan kehilangan Saguaro adalah kerugian besar.
"Musim hujan yang kuat dengan cepat boleh memberi kesan kepada landskap padang pasir. Kehilangan Saguaro adalah kerugian yang besar. Ia ikonik selama 200 tahun ini di denai Romero Ruins.
"Lokasi menarik yang menghadap Sutherland di Catalina State Park di Tucson, suatu pemandangan selama ini tidak dapat dinikmati pengunjung di taman lain," kata Taman Negeri Arizona menerusi kenyataan di media sosial.
Gambar yang dilampirkan dalam siaran di Facebook itu menunjukkan bahagian kaktus gergasi itu terdampar di tanah dengan batangnya hancur.
Kaktus Saguaro boleh mencapai ketinggian lebih daripada 10 meter dan berat lebih dua tan apabila penuh dengan air.
Tumbuhan itu yang tumbuh di Amerika Syarikat dan Mexico, menjadi simbol Amerika Barat dan khususnya landskap padang pasir Arizona.
"Namun, syukurlah gergasi ini telah jatuh di laluannya dan akan kekal di tempat ia mendarat, menyediakan habitat dan makanan untuk banyak makhluk ketika ia mereput," kata pihak Taman Negeri Arizona.
Ramai pelawat ke Catalina State Park mengimbas kembali lawatan mereka dalam komen siaran Facebook dan memasukkan gambar kaktus gergasi itu, menunjukkan skala penuh betapa tingginya ia telah berkembang selama dua abad.
EmoticonEmoticon