Penyelidik baru-baru ini telah menemui jantung berusia 380 juta tahun pada fosil ikan prasejarah. Penemuan itu adalah detik penting dalam evolusi organ berkenaan yang terdapat pada semua haiwan vertebrata dan manusia, lapor BBC News pada 15 September 2022.
Jantung itu milik seekor ikan yang dikenali sebagai Gogo, yang kini telah pupus. Penemuan itu telah diterbitkan dalam jurnal Science.
Ketua saintis, Prof Kate Trinajstic dari Curtin University di Perth memberitahu BBC mengenai saat dia dan rakan-rakannya menyedari bahawa mereka telah membuat penemuan terbesar dalam hidup mereka.
"Biasanya, tulang yang bertukar menjadi fosil, dan bukannya tisu lembut. Tetapi di sebuah lokasi ini di Kimberley, dikenali sebagai batuan Gogo, elemen mineral telah mengekalkan banyak organ dalaman ikan, termasuk hati, perut, usus dan jantung.
"Ini adalah detik penting dalam evolusi kita," kata Prof Trinajstic.
Rakan usaha samanya, Prof John Long dari Flinders University di Adelaide, menyifatkan penemuan itu sebagai 'penemuan yang membingungkan dan mengejutkan'.
"Kami tidak pernah mengetahui apa-apa mengenai organ lembut haiwan seusia ini, sehingga kini," katanya.
Ikan Gogo adalah yang pertama dari kelas ikan prasejarah yang dipanggil placoderm. Ia adalah ikan pertama yang mempunyai rahang dan gigi serta boleh membesar sehingga 29.5 kaki (9 meter) panjang.
Placoderm adalah hidupan dominan planet ini selama 60 juta tahun, wujud lebih daripada 100 juta tahun sebelum kewujudan dinosaur.
Imbasan fosil ikan Gogo menunjukkan bahawa jantungnya lebih kompleks daripada yang dijangkakan untuk ikan primitif. Ia mempunyai dua ruang di atas satu sama lain, struktur yang serupa dengan jantung manusia.
Penyelidik membuat kesimpulan, ia adalah faktor yang menjadikan jantung haiwan itu lebih cekap dan adalah langkah kritikal yang mengubahnya daripada ikan yang bergerak perlahan kepada pemangsa yang bergerak pantas.
Pemerhatian penting lain ialah kedudukan jantungnya berada lebih hadapan berbanding ikan yang lebih primitif. Kedudukan ini dikaitkan dengan bentuk leher ikan Gogo dan memberi ruang untuk paru-paru.
Dr Zerina Johanson dari Natural History Museum London, yang adalah peneraju dalam kajian placoderm, menyifatkan penyelidikan itu sebagai 'penemuan yang sangat penting' yang membantu menjelaskan mengapa tubuh badan manusia menjadi seperti hari ini.
"Terdapat banyak perkara yang berlaku pada placoderm ini yang kita lihat ada pada diri kita hari ini seperti leher, bentuk dan kedudukan jantung dalam badan," katanya.
Menurut Dr Martin Brazeau, pakar placoderm di Imperial College London berkata, penemuan itu mengisi satu langkah penting dalam evolusi kehidupan di Bumi.
Ia benar-benar mengujakan untuk melihat keputusan ini," katanya kepada BBC News.
"Ikan yang saya dan rakan sekerja saya kaji adalah sebahagian daripada evolusi kami. Ini adalah sebahagian daripada evolusi manusia dan haiwan lain yang hidup di darat dan ikan yang hidup di laut hari ini," tambahnya. - Sumber BBC News.
EmoticonEmoticon