India kelmarin melancarkan kapal pengangkut pesawat buatan tempatan pertama, INS Vikrant yang dibina dengan kos kira-kira AS$2.5 bilion (RM11.1 billion), lapor portal berita Daily Mail pada 2 September 2022.
INS Vikrant adalah kapal pengangkut pesawat kedua India dan bakal menyertai INS Vikramaditya, iaitu kapal induk era Kesatuan Soviet yang dibeli dari Rusia pada 2004 untuk mempertahankan Lautan Hindi dan Teluk Benggala.
Kapal induk INS Vikrant adalah kapal perang terbesar yang dibina di India. Ia boleh membawa seramai 1,600 kru dan mengendalikan armada kecil terdiri daripada 30 pesawat termasuk jet pejuang dan helikopter.
Pelancaran kapal induk itu berkait rapat dengan usaha keras untuk menghadapi armada tentera laut China yang semakin besar. Kapal INS Vikrant direka oleh tentera laut India dan dibina oleh Cochin Shipyard Limited (CSL), syarikat milik negara.
Kapal sepanjang 262 meter dengan berat mencecah 45,000 tan itu menggunakan empat turbin gas yang menghasilkan kuasa 88 MW. Ia mampu mencapai kelajuan maksimum 28 knot.
Pelancarannya dirasmikan oleh Perdana Menteri, Narendra Modi selepas 75 tahun kemerdekaan negara itu daripada pemerintahan British.
"Ia adalah hari bersejarah dan pencapaian penting. Inilah contoh usaha kerajaan untuk menjadikan sektor pertahanan India semakin berdikari," kata Modi.
Perkembangan baharu India itu muncul ketika pesaingnya, China meluaskan kehadiran di Lautan Hindi dan Pasifik Barat dalam masa beberapa tahun kebelakangan ini.
Tentera laut China sedang membina kapal dengan pantas dan kini mempunyai angkatan laut terbesar dunia berdasarkan bilangan kapal. Pencapaian tersebut bertujuan untuk menyaingi armada tentera laut Amerika Syarikat.
India merupakan negara ketiga selepas Britain dan China yang merasmikan kapal pengangkut pesawat buatan tempatan dalam tempoh tiga tahun lepas.
Kapal induk itu mengambil masa 18 tahun untuk disiapkan selepas beberapa kali mengalami kelewatan, menyebabkan kosnya meningkat kepada AS$2.5 bilion.
Kapal perang itu akan beroperasi sepenuhnya menjelang akhir 2023 selepas kali pertama menjalani ujian pendaratan dengan pesawat pejuang MiG-29K buatan Russia. - Sumber Daily Mail.
EmoticonEmoticon