Fosil haiwan yang dipercayai hidup 50 juta tahun lebih awal daripada dinosaur ditemukan oleh seorang guru wanita ketika berjalan-jalan di sepanjang pantai Pulau Prince Edward, Kanada, baru-baru ini, lapor akhbar Daily Mail pada 2 September 2022.
Guru tersebut, Lisa St. Coeur Cormier, 36, ternampak sesuatu yang luar biasa dengan sebahagiannya tertimbus di pantai. Pada mulanya dia menyangka apa yang dilihatnya itu adalah akar pokok.
Apabila dilihat lebih dekat, dia kemudian menyedari bahawa terdapat tulang rusuk, tulang belakang dan tengkorak.
John Calder iaitu ahli geologi dan paleontologi yang bekerja dalam kes itu, mengesyaki tulang-tulang terbabit adalah daripada sejenis biawak atau persamaan dengannya.
Dinosaur dianggap sudah wujud kira-kira 245 juta tahun dahulu dan kemudian pupus kira-kira 66 juta tahun dahulu. Makhluk yang menjelajah Bumi sebelum ini kebanyakannya adalah jerung, ikan bertulang, arthropoda, amfibia, reptilia dan sinapsid.
Fosil yang ditemui di pantai adalah kecil, berukuran lebih daripada dua kaki panjang, tetapi masih menyimpan butiran luar biasa yang membolehkan penyelidik menentukan ia hidup lama sebelum dinosaur.
"Haiwan ini berjalan di Bumi 300 juta tahun lalu, kira-kira 50 juta tahun lebih awal daripada dinosaur. Ini adalah awal dalam evolusi reptilia daripada amfibia, dan mereka bercabang," kata Calder memberitahu CBC.
Cormier berkata sangat teruja dengan penemuan yang jarang berlaku ini, kerana ia adalah peluangnya untuk meninggalkan jejak dalam sejarah sains.
"Untuk berfikir bahawa saya menemui sesuatu yang mungkin berusia 300 juta tahun, ia luar biasa," katanya. - Sumber Daily Mail.
EmoticonEmoticon