Selasa, 6 September 2022

Berlian putih 160 karat keenam terbesar ditemui di Angola


Berlian putih 160 karat jenis Ila (iaitu berlian paling tulen secara kimia) ditemui di Angola, menurut Lucapa Diamond Company dalam satu kenyataan media pada Jumaat lepas.


Syarikat itu memaklumkan berlian 160 karat itu adalah berlian keenam terbesar ditemui setakat ini dan berlian ke-28 melebihi 100 karat yang pernah dijumpai di lombong aluvium Lulo di Angola, lapor Xinhua.


Lulo adalah konsesi seluas 3,000 kilometer persegi di kawasan perlombongan berlian Lunda Norte di Angola, kira-kira 630 kilometer dari timur Luanda.


Lucapa dan rakan kongsinya sejak beberapa dekad yang lalu berjaya membuktikan Lulo memiliki sumber berlian aluvium yang paling prolifik di dunia.


Syarikat itu turut menemui berlian merah jambu 170 karat yang jarang ditemui pada Julai lalu dan dipercayai yang terbesar pernah ditemui sejak 300 tahun lalu.


Lucapa mempunyai 40 peratus kepentingan dalam lombong Lulo. Selebihnya dipegang oleh syarikat berlian nasional Angola (Endiama) dan Rosas & Petalas, sebuah entiti swasta.


Ketua pegawai eksekutif Stephen Wetherall memberitahu perwakilan pada persidangan pada hari Jumaat bahawa syarikatnya sedang berusaha untuk mencari lombong batu berlian baharu di Angola.


Beliau juga berkata asas pasaran berlian adalah kukuh dan akan kekal begitu kerana bekalan terus berkurangan.


"177 juta karat dihasilkan pada 2005, berbanding hanya 116 juta tahun lepas. Ia disebabkan penutupan lombong berlian Rio Tinto’s iconic Argyle pada 2020, dan penutupan lombong Canada's Diavik and Ekati.


"Memandangkan tiada lombong baharu sedang dibangunkan untuk menebus kehilangan pengeluaran, 15 peratus daripada bekalan berlian global akan hilang dari pasaran menjelang 2030," kata Wetherall.


BACA: Pelombong jumpa berlian merah jambu terbesar pernah ditemui sejak 300 tahun lalu bernilai RM680 juta.


Berlian jenis IIa putih 160 karat. - Foto Lucapa Diamond.


EmoticonEmoticon