Gambar hiasan. - Foto Zoopraha.
Seorang pekerja taman hiburan di Sweden terbunuh akibat diserang seekor antelop terbesar di dunia ketika membawanya ke kandang, lapor akhbar Daily Star pada 30 Ogos 2022.
Pekerja itu ditanduk selepas waktu penutupan di Oland Animal and Entertainment Park hujung minggu lalu. Rakan sekerjanya, Richard Berglund berkata, dia sedang membantu mangsa sebelum antelop itu tiba-tiba bertindak ganas.
Menurut Richard, mereka membawa haiwan itu ke dalam kandang apabila rakannya diserang dan ditanduk.
"Saya menyaksikan kejadian yang melibatkan seekor eland ketika membantu mangsa membawa haiwan itu ke dalam kandang selepas taman itu ditutup," kata Berglund memberitahu pemberita.
Pihak berkuasa memaklumkan bahawa kejadian itu disiasat sebagai 'kes kemalangan di tempat kerja' mengikut prosedur operasi standard.
Pemilik taman haiwan yang terletak di pulau Oland di barat daya, mengesahkan pekerja itu disahkan meninggal dunia pada Ahad (28 Ogos 2022).
Tidak diketahui dengan tepat apa yang berlaku di dalam kandang itu. Identiti dan kerakyatan mangsa masih belum didedahkan buat masa ini, lapor akhbar The Sun.
Terdapat dua spesies eland, kedua-duanya berasal dari Afrika Selatan, dengan varieti gergasi disenaraikan sebagai spesies antelop terbesar di dunia.
Tidak jelas sama ada haiwan yang membunuh lelaki itu di taman di Sweden adalah eland gergasi, atau spesies eland biasa yang lebih kecil, yang masih boleh mencapai ketinggian hampir 6 kaki di bahu dan berat lebih 2,000 paun.
Menurut laman web taman itu, kemudahan itu kini ditutup untuk musim ini. - Sumber Daily Star.
EmoticonEmoticon