Sekumpulan ahli arkeologi menemukan gigi milik manusia purba yang dianggarkan berusia 1.8 juta tahun di Georgia. Penemuan itu mengukuhkan lagi dakwaan bahawa wilayah itu sebagai rumah bagi salah satu penempatan manusia prasejarah terawal di Eropah.
Gigi itu ditemukan berhampiran perkampungan Orozmani, terletak kira-kira 96.5 kilometer di barat daya ibu kota Georgia iaitu Tbilisi, berhampiran Dmanisi, di mana tengkorak manusia berusia 1.8 juta tahun ditemui pada akhir 1990-an dan awal 2000-an.
Penemuan Dmanisi merupakan penemuan tertua di dunia di luar Afrika malah mengubah pemahaman saintis mengenai evolusi awal dan corak penghijrahan manusia purba.
Menurut pakar, penemuan terbaharu di lokasi penggalian itu membuktikan kawasan pergunungan di selatan Caucasus, berkemungkinan merupakan antara tempat pertama manusia purba menetap setelah berhijrah keluar dari Afrika.
"Orozmani bersama dengan Dmanisi, mewakili pusat penemuan tertua manusia purba atau Homo sapiens di dunia di luar Afrika," jelas Pusat Penyelidikan Kebangsaan Arkeologi dan Prasejarah Georgia.
Menurut ketua pasukan penyelidik, Giorgi Bidzinashvili, dia menganggap gigi itu milik 'kenalan' Zezva dan Mzia, nama yang diberikan kepada dua fosil tengkorak manusia hampir lengkap berusia 1.8 juta tahun ditemukan di Dmanisi.
Dilaporkan, pelajar ahli arkeologi, Jack Peart menemukan gigi manusia purba itu di Orozmani.
"Implikasinya bukan sahaja untuk tapak penggalian ini tetapi ia sangat besar bagi Georgia dan kisah manusia meninggalkan Afrika 1.8 juta tahun lalu.
"Penemuan itu mengukuhkan lagi Georgia sebagai lokasi yang sangat penting untuk paleoantropologi dan kisah manusia secara umum," katanya kepada Reuters.
Fosil Homo masih merupakan fosil manusia tertua ditemui di dunia setakat ini yang bertarikh sekitar 2.8 juta tahun yang lalu. Rahang separa ditemui di Ethiopia zaman moden. - Sumber Reuters.
BACA: Gua Wonderwerk, rumah tertua dihuni manusia purba sejak 2 juta tahun dahulu.
EmoticonEmoticon