Sabtu, 6 Ogos 2022

'Menggoncang' dunia sebanyak 2 kali, wap air letusan gunung berapi Tonga boleh isi 58,000 kolam renang Olimpik


Salah satu letusan gunung berapi paling kuat di planet ini yang telah mengeluarkan sejumlah besar wap air hingga ke atmosfera, berkemungkinan mampu memanaskan permukaan bumi buat sementara waktu, menurut pengesanan daripada satelit Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).


Memetik laporan CNN pada 3 Ogos 2022, letusan gunung berapi dasar laut yang berlaku di Tonga pada 15 Januari lalu, mencetuskan tsunami dan ledakan sonik yang dapat didengar di seluruh dunia sebanyak dua kali.


Letusan itu mengeluarkan wap air hingga ke dalam stratosfera, yang terletak antara 12 dan 53 kilometer di atas permukaan bumi. Air yang dikeluarkan itu mencukupi untuk mengisi 58,000 buah kolam renang bersaiz Olimpik, berdasarkan pengesanan satelit NASA.


Pengesanan itu dibuat oleh alat Microwave Limb Sounder pada satelit Aura NASA. Satelit itu mengukur wap air, ozon dan gas atmosfera yang lain.



Para saintis terkejut dengan bacaan wap air yang diperoleh selepas letusan itu berlaku. Mereka menganggarkan letusan itu mengeluarkan 146 teragram air ke stratosfera.


Satu teragram adalah bersamaan satu trilion gram, justeru dalam kes ini, ia bersamaan dengan 10 peratus daripada jumlah air yang sedia ada di stratosfera.


Ia adalah empat kali ganda berbanding jumlah wap air yang mencecah stratosfera selepas letusan Gunung Pinatubo pada 1991 di Filipina. Kajian baharu mengenai penemuan wap air disiarkan dalam Geophysical Research Letters pada bulan lalu.


"Kami tidak pernah melihat perkara seperti itu. Malah, kami terpaksa memeriksa dengan teliti semua ukuran dalam kepulan untuk memastikan ia adalah benar," kata saintis atmosfera di NASA, Luis Millan.


Para penyelidik percaya sebab utama jumlah wap air yang tinggi adalah disebabkan oleh kedalaman kaldera gunung berapi 150 meter di bawah permukaan lautan.


Sekiranya ia terlalu dalam, kedalaman lautan akan meredam letusan, namun letusan di Tonga airnya terlalu cetek, jumlah air laut yang dipanaskan oleh magma yang meletus tidak sepadan, kata para penyelidik.


Saintis masih berusaha untuk memahami letusan luar biasa bertenaga dan semua superlatifnya, termasuk angin berkekuatan taufan yang mencapai angkasa. - Sumber CNN.


Petugas Geologi Tonga mengamati letusan gunung berapi Hunga Tonga-Hunga di bawah laut perairan Tonga pada 15 Januari 2022. - Foto Facebook (Tonga Geological Services, Government of Tonga).


EmoticonEmoticon