Cuaca panas dan kemarau melampau di Texas, Amerika Syarikat menyebabkan kebanyakan sungai kering kontang, dengan beberapa dasar sungai mendedahkan jejak dinosaur yang hidup kira-kira 113 juta tahun dahulu.
Menerusi laporan akhbar Daily Mail pada 23 Ogos 2022, jejak itu dikesan di Dinosaur Valley State Park, berdekatan Fort Worth, Texas, di dasar sungai yang kini kering selepas sekian lama ditutup oleh mendapan dan saliran air.
Musim kemarau di kawasan itu menyebabkan sebahagian besar Sungai Paluxy kering sehingga menampakkan jejak dinasour itu, yang tidak terjejas di sebalik lapisan mendapan dan tanah liat serta batu kapur.
Pegawai taman Stephanie Salinas Garcia mendakwa, ia mungkin jejak terpanjang yang ditinggalkan dinasour di mana-mana tepat di Amerika Utara.
"Jejak itu, kebanyakannya dipercayai milik spesies dinosaur Acrocanthosaurus setinggi 15 kaki seberat 7 tan, dan Sauroposeidon, yang tingginya kira-kira 60 kaki dan berat sekitar 44 tan," jelasnya.
Jejak tapak kaki dinosaur itu bagaimanapun hanya kelihatan untuk beberapa hari sebelum ia lenyap semula apabila hujan menyebabkan paras air sungai kembali naik.
Sebuah video yang disiarkan oleh taman itu di media sosial menunjukkan tapak kaki yang baru ditemui, kelihatan seperti alur dalam di dasar sungai berlumpur.
Menurut laman web taman, jejak itu dianggap bermula pada Era pertengahan Cretaceous, ketika wilayah Dallas Texas berada di tepi laut.
Lumpur di pinggir pantai ini menjadikan konsistensi yang ideal untuk memelihara jejak akibat mendapan kalsium karbonat daripada cengkerang krustasea. - Sumber Daily Mail.
EmoticonEmoticon