Satu objek misteri ditemui terapung di luar utara pantai Australia oleh sekumpulan nelayan baru-baru ini. Bekas keluli besar itu ditemui oleh sekumpulan nelayan yang bekerja di kapal Wildcard di Teluk Carpenteria, timur laut Groote Eylandt, lapor akhbar Daily Mail pada 8 Ogos 2022.
Nelayan terbabit berbincang mengenai apa yang perlu dilakukan terhadap bekas keluli itu. Ada yang berpendapat terlalu berbahaya untuk meninggalkan bekas keluli terbabit begitu sahaja kerana ia kemungkinan dilanggar kapal lain.
Seorang daripada nelayan terbabit kemudian terjun ke laut untuk memeriksa objek itu tetapi gagal membukanya. Mereka juga tidak dapat menunda objek itu kembali ke pantai. Ini menyebabkan mereka mengikatkan boya penanda padanya supaya ia boleh dilihat oleh kapal-kapal lain.
"Jika anda tidak memberi perhatian pada waktu malam, kemungkinan besar ia tidak dapat dilihat melalui radar atau dilihat oleh seseorang," kata seorang nelayan dikenali sebagai Tiger Davey kepada Daily Mail Australia.
Davey berkata, bekas keluli itu kemungkinan tempat penyimpanan barang dan ia kemungkinan terjatuh ke laut, dan mungkin datang dari kapal lain kerana Teluk Carpenteria adalah laluan perkapalan utama.
Sementara itu, pengurus kempen plastik Persatuan Pemuliharaan Marin Australia Shane Cucow melabelkan Teluk itu sebagai 'titik panas untuk serpihan'.
Cucow menjelaskan Teluk itu terletak di pinggir arus lautan global yang bermaksud bahawa sisa telah ditarik masuk dari seluruh dunia ke kawasan itu.
Beliau berkata, kapal nelayan tempatan dan antarabangsa yang melalui laluan perkapalan menambah serpihan dengan pukat dan peralatan menangkap ikan yang dibuang atau hilang di dalam air.
Dalam pada itu, pihak Keselamatan Maritim telah mengeluarkan amaran keselamatan mengenai objek berkenaan selepas ia dikesan di teluk tersebut. - Sumber Daily Mail.
EmoticonEmoticon