Ahad, 28 Ogos 2022

Remaja tunggang motosikal melakukan aksi Superman dan zig zag berulang kali ditahan polis


KEMAMAN - Seorang remaja lelaki terlalu ghairah menunggang motosikal dengan aksi 'Superman' sehingga tidak perasan diekori oleh sebuah kereta peronda polis, membawa padah apabila ditahan di Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT 1) berhampiran Plaza Tol Jabor, semalam.


Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, lelaki berusia 18 tahun itu yang menunggang motosikal Honda jenis EX5, melakukan aksi Superman dengan menundukkan kepala selari dengan meter sebelum ditahan pada pukul 10.30 pagi.


"Remaja yang berasal dari Jengka, Pahang itu juga dilihat melakukan aksi zig zag dari lorong kanan jalan dan lorong kiri jalan secara berulang kali sejauh kira-kira dua kilometer dari Kilometer 248 hingga Kilometer 250, LPT 1.


"Sebaik menyedari kehadiran anggota polis, dia bukan sahaja enggan mengikut arahan berhenti malah telah memecut laju motosikalnya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.



Hanyan berkata, anggota polis mengekori suspek ke Plaza Tol Jabor, namun suspek kemudiannya bertindak membuat pusingan U dengan melawan arus ke Kuantan, Pahang sebelum sekali lagi membuat pusingan U menghala ke Plaza Tol Jabor.


"Bagaimanapun, malang tidak berbau apabila suspek telah terbabas sendiri kira-kira 50 meter dari plaza tol tersebut menyebabkan dia luka didagu," katanya.


Tambah beliau, suspek kemudiannya berjaya ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Ujian urin ke atas suspek mendapati dia negatif dadah.


Terdahulu, tular di media sosial sebuah video berdurasi 20 saat mengenai aksi seorang remaja yang menunggang motosikal secara merbahaya tanpa menyedari dia diekori polis meskipun pihak polis telah membunyikan siren. - Sumber Utusan Online.


Aksi seorang remaja menunggang motosikal ala Superman yang berjaya dirakam anggota polis di Kilometer 248, LPT 1 berhampiran Plaza Tol Jabor dekat Kemaman, pada Sabtu 27 Ogos 2022.


EmoticonEmoticon