Isnin, 29 Ogos 2022

Rangka dinosaur terbesar yang mendiami Bumi lebih 100 juta tahun dahulu ditemui di halaman belakang rumah


Seorang lelaki di Pombal, Portugal, baru-baru ini telah menemui rangka seekor dinosaur di halaman belakang rumahnya. Ia dianggap sebagai penemuan penting selepas rangka berkenaan dipercayai adalah yang terbesar pernah ditemui di Eropah, lapor akhbar Daily Mail pada 26 Ogos 2022.


Pada 2017, seorang pemilik rumah dari Pombal mula-mula melihat serpihan tulang fosil di halaman rumahnya semasa melakukan beberapa kerja pembinaan. Dia kemudian menghubungi pasukan penyelidik dan kerja-kerja eskavasi dijalankan bermula pada tahun yang sama.


Awal bulan ini, ahli paleontologi dari Sepanyol dan Portugal yang bekerja di tapak itu (tapak Monte Agudo) mengumumkan bahawa mereka percaya fosil yang ditemui merupakan spesies dinosaur Sauropod terbesar yang pernah ditemui di benua itu.


Sauropod ialah dinosaur yang memakan tumbuhan, berkaki empat dengan leher panjang dan mempunyai ekor yang panjang. Dinosaur ini berukuran kira-kira 39 kaki tinggi dan 82 kaki panjang.



"Bukan mudah untuk menjumpai semua tulang rusuk haiwan seperti ini, apatah lagi dalam kedudukan ini, mengekalkan kedudukan anatomi asalnya.


"Cara pemeliharaan ini agak luar biasa dalam rekod fosil dinosaur, khususnya sauropod, dari Upper Jurassic Portugal," kata Dr. Elisabete Malafaia, seorang penyelidik di Universiti Lisbon.


"Pemeliharaan seperti ini agak jarang berlaku untuk dinosaur besar dari rekod fosil Portugis dan menunjukkan ciri alam sekitar dan taphonomik yang khusus dan luar biasa," kata beliau mengulas lanjut mengenai penemuan tersebut.


Beberapa bahagian penting rangka dinasour berkenaan juga berjaya ditemui di tapak tersebut termasuk vertebra dan tulang rusuk kemungkinan brachiosaurid sauropod, atau brachiosaurus. Spesies dinosaur berkenaan dipercayai mendiami Bumi antara 160 dan 100 juta tahun dahulu.


Menurut Malafaia, Brachiosauridae (kumpulan dinosaurus sauropod herbivor) hidup dari zaman geologi Jurassic Atas hingga Cretaceous Bawah. Berbeza dengan sauropod lain, mereka mempunyai kaki depan yang lebih panjang daripada kaki belakangnya yang menghasilkan badan yang lebih panjang dan ekor yang lebih pendek secara berkadar.


"Penyelidikan di lokaliti paleontologi Monte Agudo mengesahkan bahawa wilayah Pombal mempunyai rekod fosil penting vertebrata Jurassic Akhir.


"Dalam beberapa dekad kebelakangan ini, rantau ini telah menyediakan banyak penemuan yang sangat penting untuk lebih memahami fauna benua yang mendiami Semenanjung Iberia kira-kira 145 juta tahun dahulu.," tambahnya. - Sumber Daily Mail.


Fosil yang ditemui ini mungkin spesies dinosaur Sauropod terbesar yang pernah ditemui di Eropah. - Foto INSTITUTO DOM LUIZ (FACULTY OF SCIENCES OF THE UNIVERSITY OF LISBON).

Awal bulan ini, ahli paleontologi Portugis dan Sepanyol mengumumkan mereka telah menemui fosil dinosaur sauropod. - Foto INSTITUTO DOM LUIZ (FACULTY OF SCIENCES OF THE UNIVERSITY OF LISBON).


EmoticonEmoticon