Malang tidak berbau. Begitulah nasib dialami seekor beruang matahari selepas terkena jerat dawai di kawasan Ladang Escort Ulu Bernam di Hulu Selangor, pada Jumaat 19 Ogos 2022 lalu.
Beruang matahari itu atau nama saintifiknya, Herlactos malayanus bagaimanapun diselamatkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), kira-kira jam 10 pagi.
Pengarah Perhilitan Selangor, Dennis Ten Choon Yung berkata, pihaknya menerima aduan orang awam berhubung insiden tersebut dan bergegas ke lokasi bersama kakitangan Pusat Menyelamat Kebangsaan Sungkai Perak.
"Hasil pemeriksaan mendapati kaki kiri depan beruang jantan seberat 46 kilogram itu terkena jerat dawai berkenaan.
"Operasi menyelamat kemudian dijalankan kakitangan Perhilitan negeri dan Pusat Menyelamat Kebangsaan Sungkai, Perak," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut juga mendapati haiwan liar itu tidak dapat bergerak akibat satu daripada kakinya terkena jerat dawai.
"Operasi menyelamat segera dilakukan dengan membuka dawai itu menggunakan peralatan khas. Pada masa sama, pemeriksaan Jabatan Veterinar mendapati beruang itu tidak mengalami kecederaan serius dan berada dalam keadaan baik," katanya.
Menurutnya, haiwan liar itu kemudian dilepaskan semula ke habitat hutan asal. - Sumber Berita Harian.
EmoticonEmoticon